ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

PROGRAM KRIS – MYSTOP : USM BANTU GOLONGAN PRADIABETES LUAR BANDAR


BACHOK, KELANTAN, 19 Jun 2022 – Pradiabetes merupakan keadaan yang berlaku sebelum seseorang disahkan menghidap penyakit diabetes dan ianya terjadi apabila kandungan gula dalam darah melebihi paras normal tetapi tidak mencapai tahap untuk dikategorikan sebagai diabetes. 
 
Walau bagaimanapun, individu berkenaan cenderung untuk mendapat penyakit diabetes jenis dua (2) dalam masa terdekat atau beberapa tahun kemudian, malah lebih cenderung untuk terkena penyakit jantung dan juga strok.  
 
SAVE 20220619 203239
 
Menurut Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria, Program ‘Saya Tak Okay Dengan Pradiabetes’ (MySTOP) merupakan salah satu daripada Program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) anjuran USM untuk memperkasakan kesihatan penduduk setempat luar bandar. 
 
“Program KRIS - MySTOP ini menumpukan kepada program intervensi 12 minggu (tiga bulan) secara bersemuka dan atas talian bagi individu yang mengalami masalah pradiabetes di Gunong, Bachok dan Pengkalan Kubur. 
 
SAVE 20220619 203246
 
“Adalah sangat penting untuk doktor mengesan tahap pradiabetes seseorang individu itu berada di peringkat boleh dicegah atau boleh “reverse” supaya diabetes kekal tidak berlaku dan individu tersebut akan kembali sihat seperti sediakala,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian di Pusat Aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gunong, di sini semalam. 
 
Zaidi turut menyeru orang ramai supaya mengambil peluang keemasan menyertai program KRIS - MySTOP untuk mendapat maklumat yang tepat daripada pakar bagi meningkatkan kesihatan dan kecergasan diri supaya penyakit diabetes (kencing manis) dapat dicegah secepat mungkin.   
 
Sementara itu, Pengarah Program KRIS – MySTOP yang juga merupakan Pensyarah, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Madya Dr. Rohana Abdul Jalil, pula menyatakan bahawa melalui program KRIS – MySTOP, beberapa sesi pendidikan dan praktikal setiap dua (2) minggu selama 3 bulan akan dijalankan dalam kalangan peserta yang telah dikenalpasti melalui saringan kesihatan oleh sukarelawan kawasan rukun tetangga (KRT) Gunong dengan kerjasama Klinik Kesihatan Gunong.
 
SAVE 20220619 203230
 
“Setiap sesi akan memberikan peserta pengetahuan tentang pradiabetes, diikuti dengan sesi praktikal makan suku-suku separuh dan mulakan langkah aktif serta mempelajari teknik menyelesaikan masalah gaya hidup yang akan dibimbing oleh pakar dalam pemakanan dan aktiviti fizikal.
 
"Peserta akan diberikan pinggan sihat supaya mengamalkan penggunaan pinggan sihat sebenar bukan hanya sekadar secara ‘visual’ serta ‘smartwatch’ untuk pemantauan aktiviti fizikal secara berterusan," jelasnya.
 
SAVE 20220619 203253
 
Tambah Rohana, selain dijalankan secara bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) sewaktu pandemik mengikut pembahagian kumpulan kecil secara bergilir, peserta juga berpeluang mengakses bahan pendidikan yang dipelajari secara melalui pelantar ‘Massive Open Online Courses’ (MOOC).
 
"Program KRIS - MySTOP juga diharap dapat mencegah dewasa ‘sihat’ yang mempunyai tanda amaran awal pradiabetes dari mendapat penyakit diabetis kekal tanpa disedari," ujarnya lagi.
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Dr. Norhayati Mohamad

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 31 Januari 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.