ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

IMMERSION@PPSK LAMAN PELAJAR BERKARYA DAN DISKUSI


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Jun 2022 - Menghasilkan graduan yang berketrampilan dari pelbagai aspek merupakan antara misi sesebuah universiti. Begitu juga halnya dengan Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah memperkenalkan agenda HEBAT sebagai sandaran kemenjadian graduan yang bakal bersaing dalam dunia kerjaya sebenar kelak. 
 
Bagi memastikan agenda tersebut dapat dilaksanakan, adalah menjadi hasrat universiti untuk menyediakan ruang santai yang kondusif untuk kegunaan pelajar kerana kecemerlangan seseorang pelajar bukan hanya diukur melalui akademik semata-mata bahkan penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran serta sahsiah pelajar. 
 
Rentetan itu, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), mengambil inisiatif bekerjasama dengan organisasi luar dalam mewujudkan ruang santai untuk warga kampus khususnya pelajar PPSK sendiri.
 
SAVE 20220626 183115
 
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, kerjasama antara Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (COOPUSMA) dengan PPSK dalam mewujudkan ruang belajar secara santai yang dikenali sebagai Immersion@PPSK merupakan satu inisiatif yang sangat baik.  
 
“Saya mengharapkan Immersion menjadi satu simbol kita mendengar dan membuka peluang seluas-luasnya untuk memastikan kebajikan staf dan pelajar terjaga selaras dengan apa yang telah disediakan oleh Universiti sendiri contohnya program ‘Pitch@USM’, menawarkan peluang kepada pelajar dan staf, jika ada idea yang boleh diketengahkan, Universiti akan memberi sehingga RM10,000 untuk idea itu dicambahkan atau dijalankan. 
 
“Selain itu, terdapat juga program ‘Spin Off @ Start Up’, di mana staf diberi peluang untuk membuka syarikat penerbitan dan dari PPSK sudah ada projek yang telah mendapat peluang tersebut," ujarnya.
 
SAVE 20220626 183124
 
Beliau juga mengharapkan agar Immersion@PPSK dimanfaatkan seoptima mungkin dengan pelbagai aktiviti percambahan minda selain menjadi ruang seminar serta latihan vokasional pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah seliaan Unit Transformasi OKU.
 
Pada masa yang sama, pusat pengajian dengan kerjasama Persatuan Siswazah PPSK, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Alumni (BHEPA), Persatuan Kakitangan Sains Kesihatan dan COOPUSMA turut menjadikan Immersion@PPSK sebagai salah satu tempat untuk aktiviti keusahawanan pelajar bagi mengasah bakat, kemahiran dan pengalaman keusahawanan secara terlatih di samping menambah duit poket terutama pelajar daripada golongan B40.
 
Immersion@PPSK dilengkapi dengan fasiliti asas seperti internet, ruang perbincangan, kafe yang menjual makanan dan minuman ringan serta kemudahan percetakan dan fotostat bagi kemudahan semua pihak.
 
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Pengerusi Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (COOPUSMA), Profesor Madya Dr. Hj. Mohamed Saat Ismail.
 
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 10 Jun 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.