SABAK, KOTA BHARU, 30 Jun 2022 - Penyakit tangan, kaki dan mulut atau lebih dikenali dengan HFMD yang menular sekarang ini menimbulkan kegusaran bukan sahaja kepada ibu bapa malahan turut menimbulkan keresahan kepada guru-guru memandangkan ianya adalah penyakit yang menjangkiti golongan kanak-kanak.
Pakar Mikrobiologi Klinikal yang juga Pensyarah Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nik Haszroel Hysham Nik Hashim berkongsi berkenaan penyakit tersebut dalam program 'Jalinan Mesra SK SABAK dan Hospital USM' hari ini.
Beliau berkongsi maklumat berkaitan punca dan pencegahan HFMD khususnya bagaimana ia menjangkiti kanak-kanak, gejala yang dihidapi serta cara menjaga kebersihan diri agar dapat menghindari jangkitan.
Salah seorang pelajar yang ditemui selepas sesi ceramah tersebut, Muhammad Aazim Azlan, 12, berkata, beliau lebih memahami apa sebenarnya penyakit HFMD selepas mendengar ceramah yang disampaikan.
Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) Sekolah Kebangsaan Sabak, Aliza Draman berkata, beliau mewakili Guru Besar sangat berterima kasih kepada pihak USM kerana sudi menerima jemputan untuk berkongsi maklumat tersebut.
"Bagi pihak SK Sabak, saya berbesar hati apabila Hospital USM sudi bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang bahaya penyakit HFMD serta apa yang perlu dilakukan untuk mengelak daripada dijangkiti.
"Saya juga sangat menghargai usaha pihak Hospital USM yang turut menyelitkan soalan-soalan kuiz ringkas untuk melihat kefahaman murid-murid terhadap ceramah yang disampaikan dan nampak keberkesanannya apabila mereka dapat menjawab soalan-soalan yang diajukan. Itu menandakan mereka fokus kepada ceramah yang disampaikan", ujarnya.
Aliza turut mengharapkan sesi perkongsian seperti ini dapat diadakan lagi untuk isu kesihatan yang bersesuaian.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood