ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

LASER REFRAKTIF RAWATAN TERKINI UNTUK BEBAS KACA MATA


USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 September 2022 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah dengan pencapaian terbaru melalui penawaran Perkhidmatan Laser Refraktif kepada orang awam yang mula beroperasi pada akhir bulan Jun lalu.

Pembedahan refraktif adalah kaedah rawatan pilihan untuk rawatan masalah rabun jauh, rabun dekat, rabun silau atau rabun dekat akibat peningkatan usia.

75645589 fc7f 41dc b4a7 ba425212aafd

Kaedah rawatan ini membaiki kedudukan titik fokus mata dengan merawat struktur kornea (lapisan paling hadapan pada bola mata) dan pesakit tidak memerlukan bantuan kaca mata atau kanta lekap untuk melihat dengan jelas selepas rawatan ini.

Rawatan ini ditawarkan kepada golongan yang berusia 21 tahun ke atas bergantung kepada tahap rabun yang dihidapi dengan anggaran kos antara RM5,000 hingga RM8,000.

6a3c11dc f0df 4318 913b 8d9f0146aea9

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, setelah lebih sedekad dalam perancangan, pada tahun ini Perkhidmatan Laser Refraktif dan Perkhidmatan Optometri berjaya direalisasikan melalui kerjasama strategik antara Hospital USM dan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) serta semua jabatan yang terlibat.

“Tahniah dan terima kasih kepada kedua-dua pihak di atas kolaborasi ini, khususnya Dekan dan pihak PPSP yang bersedia untuk menjadi ‘investor’ dan menyediakan dana bagi memulakan Perkhidmatan Laser Refraktif dan Perkhidmatan Optometri.

e63eaf3a d66c 4641 85f0 9b3a8edd9488

“Syabas dan tahniah juga kepada Unit Pembangunan Korporat yang menggembleng tenaga menjadi pengantara bagi mewujudkan usaha sama di antara Hospital USM dan PPSP.

“Tidak dilupakan kepada Ketua Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, para pensyarah dan staf Hospital USM yang telah bertungkus-lumus sejak dari perancangan awal bagi memastikan projek ini menepati piawaian ‘standard’ dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Perkhidmatan Laser Refraktif dan Perkhidmatan Optometri, Hospital USM.

bd81898c 49ff 427e 8be2 141c3d061c1a

a56732ac fed7 4502 928b 71abd3d5613c

Tambah Faisal Rafiq, selari dengan usaha untuk menawarkan perkhidmatan rawatan penglihatan mata yang terbaik kepada pelanggan, Hospital USM dan rakan kerjasama strategiknya PPSP telah membuat perolehan mesin laser refraktif yang menggunakan kaedah TransPRK dengan teknologi terkini di pasaran.

“Schwind Amaris 1050R merupakan mesin laser refraktif yang dilengkapi sistem pemantauan pergerakan bola mata 7D dan berupaya menghasilkan rawatan terpantas dengan ketepatan tinggi dan pada masa yang sama ia tetap mengutamakan keselamatan pesakit.

2a34fdc1 6d55 49af 99fa 9abde031ce2d

“Sistem laser TransPRK terbaharu ini menawarkan kelebihan teknologi perisian Schwind Amaris yang terkini serta peralatan pembedahan tanpa hirisan (bladeless), sedutan atau sentuhan pada bola mata pesakit semasa prosedur laser refraktif berbeza dengan modaliti prosedur laser refraktif yang lain.

“Pesakit akan menjalani rawatan laser refraktif dalam masa yang singkat dan berasa lebih selesa serta menjalani proses pemulihan penglihatan yang lebih pendek dan cepat,” jelasnya lagi.

00ae0dd7 5c6e 43f6 a470 c499a7f6e1e6

Menurut Faisal Rafiq, selain itu, Hospital USM turut menyediakan ‘Suite Laser Refraktif’ yang merangkumi klinik, dewan bedah serta ruang rehat yang khusus di samping pakar dan staf yang kompeten dan mesra serta fasiliti serba kondusif sebagai nilai tambah untuk pelanggan yang kami hargai.

8829743d 20cf 4e09 89fc 1c67a67830a9

“Projek yang menelan belanja sebanyak RM4.8 juta ini akhirnya menjadi kenyataan dan saya percaya berkat usaha semua pihak, ia bakal menjadi pilihan pesakit yang memerlukan, sekaligus menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada penjanaan kewangan USM.

“Saya juga yakin perkhidmatan ini akan menjadi nilai tambah kepada universiti di samping menjadi salah satu elemen penting dalam pembangunan kesihatan di Hospital USM untuk jangka masa panjang,” katanya.

a4cf50f0 db13 4725 a2c7 3d159882472d

Untuk pertanyaan mengenai Perkhidmatan Laser Refraktif Hospital USM, orang ramai boleh menghubungi Unit Pembangunan Korporat, Hospital USM di talian 09-7673096/4052 atau Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual di talian 09-7676361/6362.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Unit Fotografi MPRC & UKAST

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 04 Jun 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.