USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 September 2022 - Pusat Inovasi dan Perundingan (CIC), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini turun padang ke Kampus Kesihatan untuk membantu pusat pengajian dan pusat tanggungjawab merangka strategi dalam meningkatkan pencapaian 'key performance indicator' (KPI) inovasi menerusi penganjuran program 'Gear Up Your Innovation KPI’.
Program sehari yang berlangsung di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus, Kampus Kesihatan itu bertujuan memberi penerangan berkaitan pemfailan harta intelek, memahami perjalanan pengkomersilan produk penyelidikan, proses pembentukan syarikat terbitan (spin off company) dan penerangan berkaitan insentif potongan cukai dua kali dalam menarik minat pihak industri untuk memberikan dana.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah Universiti Penyelidikan yang unggul dengan moto “Kami Memimpin”, warga kampus perlu bersama-sama menghasilkan impak yang positif terhadap pengurusan pengetahuan.
“Salah satu aspek penting yang perlu diketengahkan ialah pengkomersilan di mana kita perlu menggerakkan hasil penyelidikan daripada persekitaran makmal atau klinik kepada produk baharu untuk ditingkatkan atau diperkenalkan di dalam pusat pasaran (marketplace).
“Kejayaan menterjemah hasil penyelidikan kepada penyelesaian di dalam industri atau masyarakat, bukan sahaja mampu memacu aspek kemampanan penyelidikan, tetapi juga memberi impak yang positif kepada ekonomi negara.
“Kita sekarang berbangga dengan kepimpinan kita dalam penyelidikan, tetapi kita juga perlu memainkan peranan dalam menterjemah pengetahuan bagi kegunaan industri, komuniti, kerajaan serta sesama Institusi Pendidikan Tinggi,” katanya.
Menurut Shaharum, antara metrik pengukuran bagi pencapaian KPI Penyelidikan adalah menerusi ‘Malaysia Research Assessment’ (MyRA).
“Sejak tahun 2020, pencapaian USM di dalam MyRA terutama bagi Seksyen Inovasi menunjukkan peningkatan yang ketara dan Kampus Kesihatan menyumbang sebanyak 23 peratus (%) bagi markah keseluruhan MyRA di dalam Seksyen Inovasi.
“Pencapaian ini disumbang menerusi usaha penyelidik di Kampus Kesihatan dalam memfailkan paten termasuk lain-lain harta intelek bagi hasil penyelidikan mereka di samping inisiatif penubuhan syarikat terbitan yang menyumbang kepada markah pengkomersilan produk.
“Di samping itu, usaha sama serta kolaborasi di antara penyelidik dan rakan industri turut membantu meningkatkan pencapaian KPI Pelesenan Teknologi yang baik,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, walaupun Kampus Kesihatan menyumbang suku daripada pencapaian keseluruhan KPI Inovasi, Shaharum berharap agar jumlah tersebut dapat ditingkatkan pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.
“Saya amat menyokong usaha CIC dalam mengadakan program ini dan berharap agar program seperti ini akan diteruskan pada siri-siri berikutnya.
“Menerusi program ini, para penyelidik juga diberi peluang untuk bertanya secara peribadi menerusi sesi konsultasi bersama pegawai-pegawai CIC selain diberi tunjuk ajar tentang panduan mengisi maklumat harta intelek atau memilih perlindungan yang tepat,” jelasnya lagi.
Shaharum berharap agar penganjuran program ini mampu memupuk budaya inovasi dalam kalangan penyelidik dan warga Kampus Kesihatan, sama ada kesedaran dalam perlindungan harta intelek, kaedah pengkomersilan, atau membudayakan keusahawanan penyelidikan dengan pembentukan syarikat terbitan.
Program tersebut turut diisi dengan sesi perkongsian ilmu dan ‘Tips to Gear Up Your Innovation KPI’ oleh Pengarah CIC, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan, Timbalan Pengarah CIC, Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dan Dr. Muaz Mohd Zaini Makhtar.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak serta Timbalan Pengarah Insfrastruktur dan Aset, Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.