ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

HARI KESELAMATAN PESAKIT SEDUNIA 2022 PERINGKAT HOSPITAL USM BERI PENEKANAN TENTANG KESELAMATAN UBAT


USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 September 2022 - Setiap daripada kita pastinya pernah mengambil ubat untuk mencegah atau merawat penyakit. Amalan pengurusan ubat yang tidak selamat dan kesilapan ubat adalah punca utama kecederaan dan kemudaratan yang boleh dielakkan dalam sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia.

Selaras dengan tema Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2022 Peringkat Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu ‘Keselamatan Ubat’ dengan slogan ‘Ubat Tanpa Bahaya’, Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, sambutan pada kali ini memfokuskan keselamatan pengurusan ubat yang menyeluruh.

25b7d776 d667 4c52 94a7 e4789b4e8e9e

“Kesilapan ubat biasanya berlaku apabila sistem pengurusan ubat yang lemah dan faktor manusia seperti keletihan, keadaan persekitaran yang buruk atau kekurangan kakitangan yang mana boleh menjejaskan amalan preskripsi, transkripsi, pendispensan, pentadbiran dan pemantauan, yang kemudiannya boleh mengakibatkan kemudaratan teruk, hilang upaya atau kematian.

“Untuk makluman, insiden yang berkaitan kesilapan ubat di Hospital USM pada tahun 2021 adalah merupakan insiden yang kedua tertinggi daripada segi kekerapan dan saya menyeru agar semua pengamal perubatan meningkatkan kompetensi dalam proses pengurusan ubat bagi mengelak kesilapan yang boleh memberi kesan buruk kepada pesakit,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

6aaecd84 e389 4986 a531 3d29127a10b3

Menurut Nik Hisamuddin, staf hendaklah sentiasa peka atau ‘mindfulness’ iaitu ‘Caro dan Cakno’ semasa pengurusan ubat, sentiasa semak dengan kaedah 7R dan bertanya jika tidak pasti.

“Sekiranya terdapat kejadian kesilapan dalam pengubatan, staf melaporkannya dengan segera agar peluang penambahbaikan dapat dikenal pasti bagi mengelak insiden yang sama berulang.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pengurusan Hospital USM bagi memastikan amalan keselamatan pesakit menjadi satu budaya dalam kalangan staf dan perkara ini sangat penting agar pesakit selamat daripada sebarang kesan buruk akibat perawatan yang tidak selamat, cuai dan tidak bertanggungjawab,” jelasnya lagi.

536c932a be5f 4d21 856f 19631ffced09

Tambah Nik Hisamuddin, aspek keselamatan pesakit sangat dititik beratkan dalam kalangan staf Hospital USM seiring dengan objektif Hari Keselamatan Pesakit Sedunia untuk meningkatkan pemahaman global mengenai keselamatan pesakit, meningkatkan penglibatan orang ramai dalam keselamatan perawatan kesihatan dan mempromosikan tindakan secara global untuk mencegah serta mengurangkan bahaya dalam perawatan kesihatan.
“Selain itu, pemerkasaaan penglibatan pesakit dan keluarga pesakit juga sangat penting dalam usaha meningkatkan keselamatan pesakit.

“Kolaborasi antara anggota kesihatan, pesakit dan keluarga perlu ditingkat dan dioptimakan bagi menjayakan inisiatif ini dengan meluangkan masa untuk memberi penerangan kepada pesakit mengenai ubat yang diberikan agar pesakit memahami dan mempunyai peluang untuk bertanya tentang rawatan yang diberikan.

3a6776fe d462 4914 8ec7 54abd64d952e

“Ianya selari dengan polisi penjagaan kesihatan Hospital USM untuk memastikan penjagaan kesihatan yang selamat, berkesan, tepat pada masanya, berpaksikan pesakit, efisyen dan adil untuk semua,” katanya.

Nik Hisamuddin turut berharap agar program ini dapat memberi impak yang positif, meningkatkan momentum dan kesedaran semua pihak berkenaan kepentingan keselamatan pesakit serta mengurangkan risiko berlakunya insiden yang menggugat keselamatan pesakit.

Sambutan Hari Keselamatan Pesakit 2022 Peringkat Hospital USM pada tahun ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya ceramah, pameran keselamatan ubat - ubatan, pertandingan video pendek, kuiz keselamatan ubat-ubatan dan banyak lagi.

20d4ba21 96dd 4e6a 81c0 1930bf1505b1

Turut hadir semasa majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Pengarah Operasi, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah Insfrastruktur dan Aset, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pengarah Klinikal merangkap Pengarah Program Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2022 Peringkat Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria dan ketua-ketua jabatan serta unit Hospital USM.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 30 November 2022.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.