USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2022 - Program STEM Street 2022 meneruskan fasa keempat (kluster perubatan) dengan memilih Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai rakan kerjasama strategik untuk memberi pendedahan kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) sekolah berkait kerjaya dalam bidang perubatan.

Pendidikan STEM didefinisikan sebagai pembelajaran bersepadu disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang mengaplikasi konteks dunia sebenar dengan menghubungkan institusi pendidikan, komuniti dan industri untuk melahirkan bakat dan masyarakat berliterasi STEM ke arah memacu pembangunan ekonomi negara.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana memilih Kampus Kesihatan USM untuk melaksanakan program STEM Street 2022 yang bertemakan perubatan ini.

"USM merupakan universiti tempatan awam pertama yang diiktiraf oleh Majlis Perubatan India (Medical Council of India) sekaligus menjadikan program perubatan USM bertaraf antarabangsa serta memudahkan graduan menembusi pasaran kerja global sebagai pengamal perubatan.
“Pengiktirafan ini telah diterima pada pertengahan 2018 dan ianya adalah pengiktirafan kedua setelah pengiktirafan terdahulu yang diberikan oleh Majlis Perubatan Maldives (Maldives Medical Council),” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Kuliah C, hari ini.
Tambah Shaharum, pepatah melayu mengatakan ‘tidak kenal, maka tidak cinta’ adalah bertepatan dengan pemilihan Kampus Kesihatan USM yang komponennya terdiri daripada aspek perubatan dan kesihatan untuk seseorang yang mempunyai minat mendalami dan mempelajari bidang Sains.

“Selaku universiti kedua tertua di negara ini, USM kini membangun dengan pesat dan mampu menawarkan pembelajaran pada peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi kepada lebih 20,000 orang pelajar.
“Saya menyeru para guru untuk menggalakkan anak didik di sekolah masing-masing menjadikan bidang STEM sebagai pilihan pertama bagi mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana masa depan Pembangunan Negara amat bergantung kepada kemantapan dan pencapaian penggalian ilmu dalam Sains dan Teknologi.

"Hadirnya guru-guru adalah pemberi inspirasi dan memupuk minat serta kecintaan para pelajar untuk sesuatu bidang,” ujarnya lagi.
Menurut Shaharum, beliau yakin dan percaya semua Institut Pengajian Tinggi utama Negara termasuk USM mampu mengasah bakat dan kebolehan pelajar dalam pelbagai bidang STEM khususnya dalam bidang Sains Perubatan, Sains Pergigian dan Sains Kesihatan sebagai persediaan untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang tersebut di masa hadapan.

“Dengan kelengkapan yang lengkap serta para pensyarah yang berpengalaman, InsyaAllah para pelajar bakal muncul menjadi salah seorang insan ternama dalam bidang Sains Perubatan, Sains Pergigian dan Sains Kesihatan serta bakal mempelopori penyelidikan dan menjadi pencipta inovasi,” jelasnya lanjut.

Program STEM Street 2022 fasa empat (4) dihadiri kira-kira 200 orang guru-guru GBK seluruh negeri Kelantan selain turut dipancarkan secara maya menerusi ‘Facebook’ dan ‘Youtube’ Pusat STEM Negara serta KPM.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Unit Penglibatan dan Penggayaan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Pusat STEM Negara, KPM, Dr. Haniza Mahmood; Ketua Penolong Pengarah, Unit Standardisasi Data, Sektor Perancangan Data Makro Pendidikan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM, Dr. Mohd Faizal Md Karim; Ketua Penolong Pengarah Kanan Matematik/Sains, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Haji Nawawi Ab. Rashid; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, USM, Ramli Osman.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman & Unit Fotografi UKAST