ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

MEMBANDARKAN MASYARAKAT LUAR BANDAR: USM LATIH 10 SUKARELAWAN KESIHATAN ORANG ASLI


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Oktober 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) sekali lagi mengambil pendekatan berbeza mendekati komuniti orang asli Pos Balar yang dilihat masih jauh ketinggalan daripada aspek penjagaan kesihatan dengan melatih 10 orang sukarelawan atau wakil kesihatan yang terlatih.

f5eb9db2 790a 405a a7a4 19c834e7f741

Projek yang mengambil masa selama 12 bulan dan merangkumi empat fasa itu terdiri daripada fasa kesedaran kesihatan (health awareness), fasa lawatan susulan (follow up visit), fasa latihan kepada pelatih orang asli (training of trainers), dan fasa penilaian (outcome evaluation).

22036beb f648 46e3 90f9 f6899fa492bd

Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, pendekatan ini digunakan sebagai salah satu kaedah pemindahan ilmu atau ‘knowledge transfer’, seterusnya meningkatkan mutu penjagaan kesihatan dalam kalangan komuniti orang asli.

“Latihan yang diberikan adalah berkaitan rawatan asas perubatan kecemasan, penjagaan asas kesihatan dan pergigian menggunakan Modul Asas Perubatan Kecemasan Orang Asli (MAPKO) dan Modul Penjagaan Kesihatan Orang Asli (PKOOA) yang dihasilkan khas untuk meningkatkan pemahaman dan pembelajaran orang asli di kawasan Gua Musang.

49a757bb d039 4d5c a2b2 fe34bae8ee79

“Program ini melibatkan tiga projek yang dikendalikan oleh tiga jabatan berbeza iaitu Projek Membangunkan Sukarelawan Terlatih Pos Balar di bawah kelolaan Jabatan Perubatan Kecemasan, Hospital USM, Projek Pemerkasaan Kesihatan Oral Komuniti Orang Asli dikelolakan oleh Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Projek Meningkatkan Taraf Penjagaan Kesihatan Komuniti Orang Asli yang dikelolakan oleh Unit Kejururawatan, Hospital USM,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Penutupan Program Khidmat Masyarakat Pos Balar, hari ini.

Pos Balar merupakan salah satu pos orang asli yang terletak jauh di pedalaman Gua Musang iaitu kira- kira 50 kilometer (km) daripada jalan utama. Ini menyebabkan komunitinya terhalang daripada menerima akses perkhidmatan arus perdana seperti kesihatan dan pendidikan.

194d0946 b0b2 4460 af4a 0ebd4dd1e9ac

Kerajaan Malaysia di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menggalas tanggungjawab utama dalam menaik taraf sosio - ekonomi komuniti orang asli di Malaysia. Namun begitu, di sebalik pelbagai usaha yang dilakukan oleh JAKOA Negeri Kelantan, komuniti orang asli Pos Balar dilihat masih jauh ketinggalan daripada aspek penjagaan kesihatan dan hal ini dapat dilihat melalui kadar penyakit berjangkit serta kekurangan zat makanan dalam kalangan kaum wanita dan kanak-kanak yang masih meruncing.

Menurut Nik Hisamuddin, program ini telah dilaksanakan bermula bulan Mac 2022 bagi fasa pertama dan fasa kedua telah diadakan pada bulan Jun 2022.

“Projek fasa pertama melibatkan seramai 50 staf dan pelajar Hospital USM serta 12 buah pacuan empat roda digunakan untuk ke Pos Balar manakala bagi program fasa kedua pula melibatkan kira-kira 100 peserta serta hampir 20 buah pacuan empat roda digunakan untuk ke destinasi sama yang mengambil masa perjalanan hampir 22 jam.

8f257682 495c 4bdf 9902 1a0e8d5b2b82

“Antara lain, program ini juga bertujuan untuk mewujudkan kumpulan pelatih atau duta kesihatan dalam kalangan masyarakat orang asli, meningkatkan kesedaran dan amalan penjagaan kesihatan oral serta membangunkan Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Pos Balar sebagai tempat pemeriksaan kesihatan asas dan pendidikan kesihatan,” ujarnya lagi.

Tambah Nik Hisamuddin, dengan membekalkan ilmu rawatan dan pertolongan cemas kepada duta kesihatan orang asli yang telah dipilih, USM berharap agar sukarelawan ini mampu menyampaikan ilmu yang dipelajari dan memberi bantuan pertolongan cemas di perkampungan mereka sebelum bantuan dari luar tiba.

“Sukarelawan yang telah dilatih ini juga akan dibawa menyertai program perkhidmatan kesihatan yang bakal dianjurkan di Pos Bihai dan Pos Belatim agar mereka dapat berkongsi kemahiran yang dipelajari selain membiasakan diri dengan penerangan dan pengajaran kepada penduduk kampung yang lain,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun pula berkata, usaha yang dilaksanakan USM dalam mewujudkan pasukan sukarelawan untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang perubatan terutamanya rawatan asas kesihatan, penjagaan pergigian dan kesihatan wanita amat bermanfaat kepada masyarakat luar bandar terutamanya komuniti orang asli.

“Program ini sangat membantu memberi tunjuk ajar selain perkongsian ilmu kepada masyarakat luar bandar di kawasan pedalaman yang mempunyai kesukaran akses kesihatan.

“Dengan adanya program sebegini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh JAKOA memandangkan kami bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan, kebajikan serta perawatan Orang Asli,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Normastura Abd Rahman; Timbalan Dekan Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam; Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS), USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria; Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan,PPSP USM merangkap Ketua Pengarah Projek Pusat Kesejahteraan USM - Pos Balar 2021/2022, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab dan Penyelia Jururawat, Unit Kejururawatan Hospital USM, Dr. Tan Beng Geok.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 31 Mei 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.