USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Oktober 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) berjaya menerbitkan sebuah buku elektronik Unit Rawatan Kebakaran Hospital USM bagi memberi kefahaman dan penyampaian ilmu kepada masyarakat dengan kemudahan teknologi di hujung jari tentang apa itu luka terbakar dan melecur.
Selaras dengan anjakan revolusi industri yang kian mara, USM tidak ketinggalan dalam IR 5.0 (revolusi industri 5.0) dengan memenuhi salah satu kriteria IR 5.0 iaitu memaksima kekuatan manusia dan teknologi.
Menurut Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman, buku ini berjaya diterbitkan hasil gabungan kebijaksanaan manusia dan kecanggihan teknologi masa kini yang memberi kemudahan kepada semua pihak untuk membacanya di mana sahaja berada kerana ia bersifat buku pintar yang boleh membawa pembaca ke pautan-pautan lain yang berkaitan.
"Penghasilan buku elektronik ini juga telah menyahut saranan kerajaan dan United Nation iaitu ‘Sustainable Development Goals’ dengan memenuhi empat (4) daripada 17 seksyen SDG.
"Empat SDG tersebut ialah SDG nombor 15 ‘Life on land’: di mana tiada sebarang pokok yang terkorban dalam penghasilan buku, SDG nombor 12 ‘Responsible comsumption and production’: di mana pada fasa produksi, projek ini tidak menghasilkan banyak sampah dan tidak menyumbang kepada sebarang pencemaran alam, SDG 9 ‘Industry, innovation and infrastructure’: seperti mana kita sedari buku elektronik ini merupakan sebuah inovasi dan SDG 3: ‘Good health and well being’: terang lagi bersuluh projek buku pintar ini berpaksikan kesejahteraan pesakit," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran 'E-book' Apa Itu Luka Terbakar dan Melecur, hari ini.
Tambah Nik Hisamuddin, buku pintar ini juga merupakan satu kelahiran teknologi dalam pengurusan pesakit-pesakit luka terbakar dan melecur.
"Semoga dengan terbitnya buku elektronik ini dapat memberi lebih pemahaman dan ilmu kepada pesakit-pesakit berkenaan perjalanan rawatan mereka.
"Selain itu, ia juga diharap dapat memberi inspirasi kepada pensyarah dan warga USM untuk terus menghasilkan produk-produk lain serta bekerja seiring perkembangan teknologi terkini," jelasnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengasas Unit Rawatan Kebakaran, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Timbalan Dekan Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam; Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif, PPSP USM, Profesor Dr. Wan Azman Wan Sulaiman; Ketua Projek Buku Elektronik Unit Rawatan Kebakaran, Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar serta penyumbang bahan penulisan dan reka grafik yang turut terlibat dalam penghasilan buku elektronik tersebut.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.