USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Oktober 2022 – “Universiti Sains Malaysia (USM) amat serius dalam membantu golongan berkeperluan khas ini sehingga USM kini telah membuka Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Kampus Kesihatan dan Kampus Induk malah kita juga menyediakan kumpulan khas yang terdiri daripada pakar bagi menguruskan PDK ini,” demikian kata Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.
Shaharum berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Penyerahan Kerusi Roda dan Alatan Mobiliti Murid Berkeperluan Khas Sekolah - sekolah Negeri Kelantan yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Menurutnya, USM bukan setakat memberi bantuan tetapi juga mendidik golongan ini supaya pada masa akan datang mereka dapat berdikari di samping dapat menjana pendapatan bagi menyara kehidupan seharian serta tidak bergantung harap kepada orang sekeliling.
"Program anjuran Pusat Transformasi Orang Kelainan Upaya (OKU), Koperasi Cakna OKU Berhad dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan kali ini berjaya menyerahkan 16 buah kerusi roda dan 15 alatan mobiliti kepada 21 orang murid berkeperluan khas dari 16 buah sekolah seluruh negeri Kelantan," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penerima kerusi roda, Amalin Qistina Amlaki, 13, ketika ditemui berkata, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada USM dan JPN kerana memilihnya sebagai salah seorang penerima kerusi roda khas mengikut keperluannya bagi memudahkan pergerakan berbanding kerusi roda yang digunakan sebelum ini.
“Saya telah menggunakan kerusi roda yang berkuasa bateri ini dari darjah satu (1) lagi kerana tangan saya memang lemah dan doktor tidak menggalakkan saya melakukan banyak pergerakan.
“Saya banyak gunakan kerusi roda untuk bergerak di dalam kawasan sekolah berbanding di rumah dan selama enam (6) tahun menggunakannya, ia sangat membantu malah senang untuk saya bergerak ke tempat yang dituju walaupun kadang-kadang saya memerlukan pertolongan cikgu.
Amalin yang merupakan anak bongsu daripada empat (4) beradik turut berpesan kepada pelajar OKU yang lain agar tidak mudah putus asa dengan kekurangan diri sebaliknya tanamkan sifat sabar dan berusaha hingga berjaya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas, JPN Kelantan, Hajah Intan Izzati Md Hashim dan Ketua Unit Transformasi OKU merangkap Pengerusi Bersama Kluster OKU USM, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman