KOTA BHARU, KELANTAN, 14 Februari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasa Program Kajian Komuniti dan Kes Keluarga (KKKK) sebagai jambatan yang menghubungkan USM dengan masyarakat.
Program KKKK merupakan salah satu kurikulum utama kursus Doktor Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) yang dilaksanakan secara praktikal bersama komuniti setempat dan ia diterjemahkan melalui penyerahan anak angkat kepada keluarga angkat mereka di perkarangan Pejabat Penggawa Daerah Badang, di sini.

Menurut Timbalan Dekan USM-KLE, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah, melalui program KKKK, seramai 155 orang pelajar perubatan akan melalui pengalaman tinggal bersama keluarga angkat selama lima hari bermula hari ini.
“Para pelajar diberi peluang merasai sendiri pengalaman secara terus bersama masyarakat sama ada dalam aspek berkomunikasi selain merancang dan menjayakan program-program promosi kesihatan serta pencegahan penyakit bersama komuniti setempat.
“Perkara paling penting adalah melatih pelajar memahami serta menghormati latar belakang agama, budaya dan sosial dalam merangka pelan pengurusan pesakit di samping menanam rasa tanggungjawab untuk memainkan peranan sebagai pemimpin dalam pasukan kesihatan dan komuniti kelak,” katanya.

Tambah Nik Ahmad Zuky, kaedah pembelajaran melalui refleksi yang terhasil berdasarkan pengalaman ini merupakan salah satu pendekatan utama USM untuk meningkatkan karakter, sahsiah dan kematangan pelajar.
“Kami yakin dengan adanya pelbagai projek intervensi kesihatan komuniti sebegini ia bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman asas tentang penyakit dan risiko penyakit, tetapi juga dapat menerapkan sikap positif dan amalan sihat bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik seseorang individu khususnya dan dalam kalangan masyarakat amnya.
“Kami juga berharap agar program bersama komuniti ini turut memberi sumbangan kepada kedudukan USM dalam senarai ’Times Higher Education’ (THE-GIR) yang mana pada tahun 2022, USM telah menduduki tempat ke-empat terbaik seluruh dunia,” ujarnya lagi.
Nik Ahmad Zuky berkata, sepanjang program tersebut, para pelajar juga berpeluang menjayakan projek-projek intervensi yang sesuai dengan masalah kesihatan spesifik yang telah dikenal pasti dalam komuniti setempat.
“Antaranya adalah Pengetahuan Mengenai Kanser Payudara, Program Kito Pero, Kito Jaga, Program Kesihatan Seksual dan Reproduktif serta Penyalahgunaan Dadah, Pendidikan Tentang Kencing Manis dan Program Mencegah Influenza,” jelasnya.

Sementara itu, Zanala Abidin Sohor dan Eshah Samat antara keluarga angkat yang ditemui dalam majlis tersebut melahirkan rasa gembira kerana terpilih untuk menerima anak angkat dari USM.
“Kehadiran anak angkat ini bukan sahaja membantu kami mendapat maklumat berguna berkenaan penjagaan kesihatan malah jiran-jiran dan penduduk kampung turut mendapat manfaat.

“Para pelajar yang menjadi anak angkat kami ini akan menjadi daya penarik atau idola kepada anak-anak remaja lain untuk meminati bidang perubatan.
“Saya juga berharap agar mereka turut mengenali adat dan budaya masyarakat di sini serta ukhwah yang terjalin ini berkekalan selamanya,” kata Zanala.
Hadir merasmikan program ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Tuan Hilmi Abdullah mewakili Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan. Turut hadir ialah Ketua Jajahan, Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Haji Mohd Anis Hussein; Pengerusi Program KKKK, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad dan Penggawa Daerah Badang, Asmadi Ismail.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman