USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Mac 2023 - Perpustakaan Hamdan Tahir (PHT), Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam memantapkan hubungan kerjasama dengan pusat pengajian dan pusat tanggungjawab (PTJ) khususnya di Kampus Kesihatan dengan memperkenalkan program
‘Research on The Go (ROTG) with USM Library’.
ROTG adalah pendekatan perpustakaan USM dalam memberi perkhidmatan konsultasi pelbagai modul literasi maklumat dan sokongan akademik secara terus kepada pelajar ijazah pertama, ijazah tinggi, penyelidik serta pensyarah yang dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik sekitar USM dan ia kesinambungan daripada program yang telah dimulakan di Perpustakaan Hamzah Sendut, Kampus Induk dan Perpustakaan Kampus Kejuruteraan.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, inisiatif program ROTG diharap dapat memberi nilai tambah kepada perkhidmatan perpustakaan dan menyerlahkan peranan serta kepentingan perpustakaan kepada warga kampus.
“Semoga ia menjadi satu pendekatan strategik secara umumnya dalam memberi perkhidmatan sokongan akademik dan penyelidikan kepada warga USM.

“Program ini juga diharap menjadi perangsang dan pemangkin ke arah memberi sokongan akademik dalam membantu kerja-kerja penulisan penyelidikan sejajar dengan hasrat USM untuk menjadi sebuah universiti global yang kompetitif,” ujarnya semasa merasmikan program ROTG, hari ini.
Tambah Shaharum, beliau yakin warga Kampus Kesihatan akan memanfaatkan maklumat yang diperoleh daripada program ROTG bagi memastikan USM sentiasa terkehadapan dalam pelbagai bidang.

“Para pelajar dan penyelidik berpeluang mendapatkan konsultasi secara terus dengan fasilitator yang dilantik melalui program ini untuk mendapat pelbagai maklumat berkaitan penulisan seperti garis panduan penulisan tesis dan jurnal,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti) Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Suharni Mohamad dan Timbalan Ketua Pustakawan, PHT, Noraida Hassan.
Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan / Foto : Wan Mohd Rashidi Wan Mood