ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

15 PELAJAR B40 BERSYUKUR TERIMA BANTUAN CERMIN MATA PERCUMA USM


PASIR PUTEH, KELANTAN, 23 Mac 2023 – Seiring dengan visi Universiti Sains Malaysia (USM) ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’, Bahagian Jaringan Industri Masyarakat (BJIM) melalui Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh telah menganjurkan Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata untuk Pelajar sempena Program Saringan Penglihatan Pelajar Asnaf B40.

 
Kira-kira 200 orang pelajar dipilih menerima cermin mata percuma mengikut penggiliran setiap daerah di Kelantan termasuk 15 pelajar terpilih dari enam (6) buah sekolah di daerah Pasir Puteh.
 
IMG 20230323 WA0033
 
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, Program Saringan Penglihatan Pelajar Asnaf B40 diketuai oleh Profesor Dr. Shatriah Ismail yang merupakan Pakar Mata Kanak-Kanak USM.
 
"Pasukannya diberi tanggungjawab melatih guru-guru Pendidikan Kesihatan melibatkan 10 daerah di seluruh negeri Kelantan dengan memfokuskan pemilihan para pelajar yang mempunyai masalah mata terutamanya mata juling.
 
"Program ini amat istimewa kerana rujukan pelajar dibuat terus oleh guru-guru kepada pakar mata kanak-kanak melalui ‘google form’ dan pemeriksaan konsultasi mata dibuat di setiap PPD," katanya.
 
IMG 20230323 WA0032
 
Tambah Shaharum, kaedah rujukan ini menjimatkan masa menunggu, memudahkan semua pihak yang terlibat dan tempoh untuk pelajar memperoleh cermin mata adalah singkat iaitu antara dua hingga tiga bulan sahaja.
 
“Program seperti ini dapat membantu para pelajar terutama di kawasan pedalaman untuk mendapatkan rawatan kepakaran yang ada di USM selain peranan penting turut dimainkan oleh guru-guru sekolah dalam pemilihan pelajar yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka adalah individu paling rapat dengan pelajar ketika di sekolah," jelasnya lagi.
 
IMG 20230323 WA0029
 
Sementara itu, menurut salah seorang penerima cermin mata dari Sekolah Kebangsaan Seri Aman, Nurul Izatie Ide Abdullah, beliau amat gembira serta teruja apabila namanya terpilih sebagai penerima cermin mata.
 
“Saya amat berterima kasih kepada USM kerana memberikan cermin mata yang direka khas ini bagi membantu saya melihat dengan lebih jelas ketika belajar dan meneruskan kehidupan seharian.
 
IMG 20230323 WA0030
 
“Terima kasih juga kepada guru-guru dan ibu bapa kerana banyak membantu dan bersabar melayan kerenah saya sebelum ini,” katanya yang juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi.
 
IMG 20230323 WA0031
 
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai PPD Pasir Puteh, Tuan Silmi Tuan Ismail; Timbalan Pegawai PPD (Sektor Pembangunan Murid), Afifi Abdullah@Omar; Ketua jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, PPSP, USM, Profesor Dr. Shatriah Ismail dan Pensyarah Jabatan Pendidikan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, PPSP, USM, Profesor Madya Dr. Mohd Zarawi Mat Nor.   
 
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 01 Jun 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.