ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

PERKASA KREDIBILITI OKK UNTUK PENGURUSAN BENCANA YANG LEBIH EFISYEN


USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Mei 2023 – Insiden kebakaran yang sering berlaku di premis-premis hospital di negara kita telah membuka mata Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan JKKP, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) untuk bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan bagi memperkasakan kredibiliti Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK).

IMG 20230507 WA0029
 
Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman berkata, JKKP Hospital USM dan PPSP mengambil inisiatif mengadakan Kursus Keselamatan Kebakaran 2023 bagi mengetengahkan aspek keselamatan kebakaran serta tindakan yang sewajarnya perlu dilakukan sekiranya berada dalam kecemasan.
 
“Kesemua peserta kursus akan diserap secara langsung ke dalam Pasukan OKK dan pengurusan USM mengharapkan pasukan ini menjadi pasukan bantuan terawal untuk menghadapi sebarang bencana kebakaran ditempat masing-masing.
 
IMG 20230507 WA0031
 
“Selain OKK yang kukuh, praktis memberikan penerangan mengenai kedudukan pintu dan jalan keluar kecemasan setiap kali sebelum acara atau mesyuarat bermula adalah sangat wajar supaya semua orang mendapat gambaran yang jelas untuk menyelamatkan diri jika berlaku insiden yang tidak diingini,” ujarnya semasa merasmikan kursus tersebut di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM.
 
Nik Hisamuddin berkata, dengan adanya pengetahuan berkenaan pencegahan kebakaran, staf dapat memastikan tempat kerja masing-masing adalah selamat daripada risiko kebakaran atau sekiranya berlaku kebakaran, staf dapat mengambil tindakan awal bagi memadam kebakaran ketika api masih kecil serta membantu menyelamatkan pesakit dan pelawat di bawah jagaan masing-masing.
 
IMG 20230507 WA0033
 
“Saya berharap agar kursus seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan penyertaan yang lebih ramai dari setiap jabatan atau unit supaya setiap warga Kampus Kesihatan sekurang-kurangnya mempunyai asas pengetahuan tentang mencegah dan mengawal kebakaran,” jelasnya.
 
IMG 20230507 WA0030
 
Kursus yang dihadiri oleh 157 orang peserta terdiri daripada kakitangan pelbagai jawatan di Hospital USM dan PPSP itu diisi dengan taklimat lengkap dan demonstrasi penggunaan alat pemadam kebakaran oleh Penolong Penguasa Bomba, Pusat Gerakan Operasi, JBPM Negeri Kelantan, El Taraff Mohd Zachariah.
 
Peserta juga diberi penerangan mengenai prosedur pengungsian bangunan dan kawalan awal kebakaran supaya kelengkapan hospital dan keselamatan pesakit lebih terjamin jika berlaku sebarang musibah.
 
IMG 20230507 WA0032
 
Turut hadir ialah Dekan, PPSP, USM, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kursus Keselamatan Kebakaran 2023, Dr. Ahmad Filza Ismail.
 
Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan /Jurufoto : Ahmad Hasib Abdul Rahman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 01 Jun 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.