KOTA BHARU, KELANTAN, 21 Oktober 2017 – ‘10th Asia Pacific Cardiologyupdate@USM 2017’ yang berlangsung bermula 20 hingga 22 Oktober berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta serta pakar kardiologi seluruh negara bagi membincangkan hasil kajian serta dapatan terkini bidang kardiologi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Ketua Jabatan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr Zurkurnai Yusof, persidangan ini diadakan bertujuan mendedahkan para peserta terutama doktor-doktor muda berkenaan peningkatan risiko dan pengidap penyakit kardiovaskular atau lebih dikenali sebagai penyakit jantung.
"Mengikut bancian kesihatan kebangsaan yang dilakukan, didapati 25 peratus kematian di hospital seluruh Malaysia adalah berkaitan dengan kardiovaskular dan sebanyak 8000 kes direkodkan setiap tahun.
“Menjadi satu kepentingan dan tanggungjawab semua pengamal perubatan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya pengetahuan mengenai penyakit kardiovaskular yang bukan sahaja terdiri dari rawatan tetapi perlu juga mencakupi aspek pencegahan,” katanya
Zurkurnai berkata, bersesuaian dengan tema yang dipilih iaitu 'Bench To Bedside, Translational Medicine', merujuk kepada kajian-kajian yang dibuat di dalam makmal dapat diterjemahkan melalui penjagaan serta perawatan pesakit terutamanya di dalam wad.
“Persidangan ini diharap dapat membantu meningkatkan pengetahuan serta kemahiran para peserta dalam merawat pesakit kardiologi bagi memastikan kesakitan dan kematian disebabkan penyakit kardiovaskular ini dapat dikurangkan,” ujarnya lagi.
Persidangan selama tiga hari itu turut mendapat kerjasama pakar-pakar kardiovaskular daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Jantung Negara (IJN) yang membentangkan pelbagai topik berkaitan.
Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Dato' Dr Haji Azman Abu Bakar. Turut hadir dalam majlis ini ialah Penasihat Kebangsaan Perkhidmatan Kardiologi KKM, Dato' Dr Omar Ismail, Presiden Persatuan Jantung Negara, Dr Ng Wai Kiat, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato' Haji Ahmad Razin Ahmad Mahir, Timbalan Pengarah Kanan (Klinikal) mewakili Pengarah Kampus Kesihatan, Dr Nik Min Ahmad, Pengerusi Bersama Persidangan, Dr Mohd Sapawi Mohamed serta Presiden Persatuan Perubatan Masyarakat Dalaman USM, Dr Wan Mohd Izani Wan Mohamed.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri