USM KUBANG KERIAN, 30 Oktober 2017 – Rata-rata di seluruh dunia masa kini menghadapi pelbagai masalah kesihatan. Di Malaysia, masalah terkini yang berkait rapat dengan gaya hidup tidak sihat atau sedentari seperti peningkatan dalam gejala obesiti dan penyakit kronik semakin meningkat.
Kesedaran tentang gaya hidup sihat oleh pengamal dan pakar adalah amat penting untuk memupuk kembali kesedaran tentang gaya hidup sihat. Bertemakan ‘Pendekatan Menyeluruh Untuk Meningkatkan Prestasi Serta Kesihatan Insan’, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan ‘11th International Sports Science Conference’ yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November 2017.
Seramai 15 orang penceramah dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Turki, Slovakia, Thailand, Afrika Selatan, Taiwan, New Zealand, Finland, Singapura dan juga Malaysia. Selain pembentangan kertas kerja, dua bengkel turut diadakan untuk memenuhi keperluan semasa dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan penyelidikan sains sukan.
Menurut Pengerusi Penganjur, Profesor Dr Chen Chee Keong, dua bengkel yang diadakan adalah untuk mempromosikan senaman sebagai salah satu langkah dalam merawat pesakit.
“Senaman dapat membantu mempercepatkan tahap kesembuhan penyakit apabila digabungkan dalam proses rawatan pesakit dan masyarakat perlu sedar akan kaedah tersebut serta berubah dari gaya hidup sedentari kepada gaya hidup sihat yang pasti menguntungkan diri sendiri serta pelbagai pihak di masa akan datang," jelasnya.
Menurut Chee Keong, selari dengan tema yang dipilih, persidangan kali ini membincangkan kepelbagaian topik secara menyeluruh termasuk Biomekanik, Sains Pergerakan, Fisiologi Senaman, Nutrusi Sukan, Kesihatan dan Kecergasan, Promosi Kesihatan, Sukan dan Pendidikan Jasmani, Aktiviti Fizikal, Senaman Sukan serta Senaman untuk golongan tua, kejurulatihan, psikologi, pengurusan dan perubatan sukan.
“Persidangan ini adalah bertujuan berkongsi maklumat, idea, membincangkan halatuju penyelidikan di masa akan datang untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan prestasi sukan dan mempromosikan gaya hidup sihat untuk mencapai kesejahteraan menyeluruh,” tambah beliau lagi.
Seramai 100 orang peserta terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, jurulatih, pendidik, instruktor kecergasan serta pelajar siswazah menyertai persidangan ini yang telah dirasmikan oleh Dato’ Dr Junaidy Abu Bakar.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Dekan Siswazah, Jaringan Industri, Masyarakat Dan Antarabangsa PPSK, Profesor Madya Dr Lim Boon Huat dan Pengerusi Program Sains Senaman Dan Sukan, Profesor Madya Dr Hairul Anuar Hashim.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman