USM KUBANG KERIAN, 16 November 2017 – Semakin hari makin ramai yang menyedari kepentingan menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan berikutan kerjasama media massa yang sentiasa memaparkan kempen menderma darah melalui media cetak dan elektronik serta poster-poster yang dipamerkan terutama di klinik – klinik kesihatan serta hospital.
Salah seorang pelajar Pra- Perubatan, Universiti Cyberjaya Kuala Lumpur, Mohamed Ikman Shah Mohamed Sariman, 20, amat teruja kerana dapat merasai pengalaman baharu kali pertama menderma darah.
“Saya rasa terpanggil untuk malaksanakan tanggungjawab ini dengan mengambil kesempatan dan memberanikan diri untuk menderma darah walaupun terdetik juga rasa takut melihat jarum suntikan.
“Saya akan jadikan pengalaman menderma darah ini sebagai salah satu cara untuk menyumbang bakti kepada masyarakat selain turut mengajak rakan-rakan untuk turut sama menderma,” katanya.
Sementara itu, menurut Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Amran Abd Wahab, seramai 130 orang pelajar Pra-Perubatan Universiti Cyberjaya datang untuk menderma darah namun selepas proses saringan seramai 104 orang sahaja yang layak menderma.
“Sambutan hari ini amat baik, selain daripada rombongan pelajar universiti tersebut terdapat juga orang awam dan staf yang turut menderma,” katanya.
Teks/Foto : Abdul Aziz Latif