ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

‘WINTER SOLSTICE NIGHT’ PAPAR CONTOH PENYATUAN PELBAGAI KAUM


USM KUBANG KERIAN, 16 Disember 2017 – Perayaan Solstis Musim Sejuk atau juga dikenali sebagai Perayaan Dongzhi merupakan antara perayaan-perayaan penting disambut oleh masyarakat Cina pada 22 Disember setiap tahun di mana cahaya matahari adalah paling lemah dan tempoh waktu siang adalah singkat.

Solstis Musim sejuk sering dikaitkan dengan masa bersama ahli keluarga. Antara aktiviti yang gemar dilakukan bersama keluarga semasa perayaan ini adalah menyediakan makanan yang diberi nama ‘Tang Yuan’ atau bebola beras pulut yang melambangkan penyatuan atau ikatan kukuh dan mesra dalam sesebuah keluarga. 

wintersolace

Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan USM, pelajar Kampus Kesihatan USM mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Makan Malam Solstis Musim Sejuk untuk mengumpulkan rakan-rakan bagi meraikan perayaan Dongzhi dengan menghidangkan ‘Tang Yuan’ yang dimasak oleh mereka sendiri. 

“Satu mangkuk ‘Tang Yuan’ melambangkan kebersamaan dan ikatan antara anggota keluarga dan rakan-rakan. Penganjuran program ini jelas menunjukkan keakraban silaturrahim dalam kalangan pelajar kita. “Bagi pelajar yang tinggal beratus-ratus batu jauhnya dari rumah, yang berjauhan dengan keluarga semata-mata demi menuntut ilmu, saya harap perayaan ini akan membuatkan anda merasa seperti berada di rumah dan menguatkan ikatan antara pelajar semua kaum dan agama,” ujarnya semasa penyampaikan ucapan perasmian majlis ‘Winter Solstice Night 2017’ di Dewan Nurani, dekat sini. Shaiful berkata, majlis ini juga dilihat sebagai satu medium yang mengukuhkan ikatan antara pelajar ke arah pencapaian perpaduan nasional.

wintersolace3

“Saya berbangga kerana perayaan ini bukan hanya disambut oleh para pelajar Cina, namun ia turut dimeriahkan oleh pelajar berbangsa Melayu, India dan pelbagai masyarakat tanpa mengira kepercayaan, agama, adat dan budaya masing-masing bagi menjayakan majlis pada malam ini.

“Malaysia menunjukkan parameter terbaik menjadi negara yang paling bersepadu, bersatu dan campuran sempurna dari pelbagai warna dan rasa, budaya dan tradisional. Ia sememangnya merupakan salah satu negara di mana rakyat hidup dengan aman dan damai walaupun mempunyai sistem multikultural,” ujarnya lagi. Shaiful berkata, satu warna pada satu helaian kertas tidak kelihatan menarik jika dibandingkan dengan helaian lain yang mempunyai campuran dua atau lebih warna. Jadi, tempat yang mempunyai gabungan, campuran budaya atau tradisi yang tersebar luas nampaknya lebih menarik di seluruh dunia berbanding dengan negara-negara lain.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Siswazah, Jaringan Industri, Masyarakat dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Dr Ahmad Fahmi Lim Abdullah dan Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kesihatan USM, Mirawaty Mat Ghani.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 22 Mac 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.