ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

KEPENTINGAN TADABBUR TAZAKKUR AYAT-AYAT  AL-QURAN


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Januari 2018 – Al- Quran bukan sekadar untuk dibaca dan difahami tetapi hendaklah dilaksanakan segala isi kandungannya serta segala hukum yang terkandung di dalamnya.

TADABBUR2 1

Menurut Pengarah Urusan Akademi Sinergi Ikhlas, Tuan Fazrul Ismail, interaksi manusia dan Al-Quran bermula dengan surah Al-Fatihah sebagai pembuka kitab dan pembuka hati sanubari setiap manusia manakala untuk persediaan bagi mengenal seluruh isi Al-Quran perlulah disusuli dengan surah Al-Baqarah yang menjelaskan tanggungjawab setiap muslim di atas muka bumi ini, kemudian Ali-Imran bagi menjelaskan keteguhan di atas jalan yang lurus.

"Setiap surah Al-Quran itu ibarat lautan dalam,  lagi banyak kita terokai dan mendalami, lagi banyak ilmu baru yang akan diperoleh oleh setiap orang muslim, jadi benarlah Al-Quran itu adalah mukjizat dan setiap susunan surah ada tujuan khusus yang berkait sehinggalah ditamatkan dengan surah An-Nas (manusia) barulah ciri-ciri kemanusiaan Qurani terhasil melalui proses 114 surah",  katanya ketika menyampaikan ceramah dalam Seminar Interaksi 114 Surah Al-Quran anjuran Pusat Islam, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Tambah Fazrul, membaca satu ayat dengan memikirkan dan memahaminya lebih baik serta lebih bermanfaat kepada hati seseorang dan dapat menambah keimanan serta memberi kemanisan kepada pembaca Al-Quran daripada membaca seluruh ayat sehingga khatam tanpa menghayati dan memahaminya.

TADABBUR3

Sementara itu, salah seorang peserta yang juga Pensyarah Perubatan Imunologi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Dr Maraina Hussin berkata, beliau sangat menyokong seminar seperti ini kerana dapat memberi banyak faedah kepadanya dan rakan-rakan yang lain.

"Salah satunya ialah cara menghafal surah dan terjemahannya serta hubungkait antara satu surah dengan surah sebelum dan selepasnya selain dapat memahami Al-Quran melalui perspektif yang baharu membuatkan saya lebih bermotivasi serta sentiasa bernafas dengan Al-Quran", jelasnya.

Seminar ini turut disertai seramai 50 peserta yang terdiri daripada pensyarah USM serta orang awam dari seluruh negeri Kelantan.

Teks/Foto: Anawiah Abdul Aziz

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 22 Mac 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.