KOTA BHARU, KELANTAN, 15 Januari 2018 – Bagi melebarkan persahabatan sedia ada dalam bidang sukan antara universiti di Pantai Timur, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menganjurkanKejohanan Persahabatan Tenpin Boling Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Pantai Timur pada 5 Januari lalu di Coral Crown Bowl, Kompleks Paya Bunga, Kuala Terengganu.
Penganjuran pertama kali itu disertai oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), UMK dan USM Kampus Kesihatan selepas penganjuran pertama pertandingan persahabatan yang telah diadakan di antara USM Kampus Kesihatan, UMK dan Kolej Teknologi PolyTech Mara (KPTM) pada tahun lalu.
Pasukan Tenpin Boling daripada UniSZA mengungguli kejohanan dengan jatuhan pin terkumpul sebanyak 9475 selesa di hadapan meninggalkan USM Kampus Kesihatan yang memperolehi 8548, UMK 8256 dan UMT 8405 jatuhan pin.
Tidak sekadar mengutip gelaran Juara Pasukan, Mohd Fadhil Hussein daripada UNisZA menambah kegembiraan pasukan beliau dengan memenangi acara step ladder lelaki dengan menewaskan Sarudin Abas daripada USM Kampus Kesihatan dengan jatuhan pin sebanyak 177. Manakala Noraini Md Zain daripada USM Kampus Kesihatan menang selesa dengan pemain wanita UniSZA, Nur Nabilah Ammar Mohd Nasir bagi merebut Juara Step Ladder Wanita.
Penganjuran kejohanan seperti ini diharap berterusan dalam mengukuhkan hubungan persahabatan antara universiti selain merupakan aktiviti yang dapat menjalinkan lebih kemesraan dalam suasana riadah.
Teks / Foto: Suhailah A. Rahman