USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Februari 2018 – Magnetic Resonance Imaging (MRI) adalah salah satu teknik pengimejan diagnostik yang sangat sesuai untuk melihat imej tisu lembut badan manusia. Di dalam pengimejan harian, MRI digunakan untuk melihat sesuatu bahagian anatomi khususnya tisu lembut seperti otak, hati, jantung dan ligamen.
Menurut pensyarah Jabatan Radiologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah, MRI adalah resonans yang wujud apabila terdapat dua objek yang mempunyai frekuensi yang sama.
"Fenomena resonans hanya akan berlaku apabila frekuensi denyutan radiofrekuensi (RF pulse) yang dikenakan ke atas pesakit sama nilainya dengan frekuensi liukan (precession frequency) spin hidrogen di dalam badan.
“Denyutan RF dikenakan ke atas pesakit yang berbaring di atas meja di dalam gentri dan apabila denyutan RF dihentikan, tenaga kemagnetan spin akan kembali secara eksponen kepada aras tenaga asal yang stabil dan pada ketika itulah isyarat dihasilkan, dikesan oleh gegelung bagadan atau gegelung kepala seterusnya diproses oleh komputer untuk menghasilkan imej", ujarnya dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang diadakan di Dewan Utama.
Wan Ahmad Kamil berkata, setelah beberapa tahun pengimejan digunakan dengan begitu meluas, tercipta pula pengimejan MRI yang menjangkau pengimejan organ.
"Antara teknik-teknik yang terdapat dalam MRI adalah Functional MRI (fMRI) yang berkeupayaan mengenal pasti koordinat di dalam otak, Diffusion Tensor Imaging (DTI) untuk melihat kesambungan neuron di dalam otak, Magnetik Resonance Spectorscopy (MRS) yang digunakan untuk mengetahui jenis-jenis komposisi kimia di dalam tumor atau otak.
"Satu lagi contoh penggunaan MRI yang begitu luar biasa ialah mengkaji keadaan yang berlaku ke atas minyak mentah sebaik sahaja ia keluar dari telaga minyak. Kajian buat pertama kali di dalam dunia ini telah dijalankan di Jabatan Radiologi Hospital USM secara kolaborasi dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP)", ujarnya lagi.
Tambah Wan Ahmad Kamil, sistem simulasi telaga minyak yang membabitkan pelbagai aspek kejuruteraan telah berjaya dibina oleh UTP.
"Minyak mentah dipanaskan dan selepas itu ia dibiarkan sejuk. MRI telah digunakan untuk mengukur saiz buih udara (voids) yang terjadi di dalam minyak mentah semasa disejukkan", jelasnya.
Seramai 300 warga staf memenuhi dewan dan turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr Adam Husein dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr Shaiful Bahari Ismail.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood