USM KUBANG KERIAN, 5 Mac 2018 - Oto-Rino-Larinks atau Otorinolaringologi ialah surgeri yang berkaitan kepala dan leher. Dengan berkembangnya teknologi, maka banyak kemajuan yang dibuat dalam bidang ini.
Rawatan penyakit sinus dalam otorinolaringologi juga telah berkembang sejurus perkembangan teknologi. Kini, penghidap penyakit sinus boleh dirawat dengan mudah dan lebih efektif oleh doktor-doktor pakar dengan menggunakan endoskopi hidung (memasukkan tiub ke dalam badan atau organ), ‘navigational and image guided surgery’ dan juga ‘powered instrumentation’.
Menurut Pakar Perubatan Otorinolaringologi- Surgeri Kepala dan Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Baharudin Abdullah, 'navigational and image guided surgery’ ialah satu sistem yang digunakan di dalam pembedahan sinus dan juga pembedahan yang berkaitan dengan tengkorak manakala ‘powered instrumentation’ ialah pembedahan endoskopi sinus yang menggunakan teknik tradisional.
"Tujuan penggunaan endoskopi seiring dengan teknologi adalah digunakan untuk merawat sinus di mana ia adalah salah satu rawatan yang boleh mengurangkan sedikit rasa sakit pada pesakit ketika menerima rawatan.
"Tambahan pula, para penyelidik klinikal juga telah membuat kajian bagaimana keradangan sinus berlaku. Ia berlaku pada tahap molekul, secara teratur menguraikan polip hidung (pertumbuhan pada dinding saluran pernafasan hidung), ‘biofilm’ dan juga siri laluan radang," ujar beliau dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang diadakan di Dewan Utama, Kampus Kesihatan.
Baharudin menjelaskan, bagi pengurusan bahagian hadapan (‘front line management’), koordinasi yang lebih baik antara pakar otorinolaringologi-surgeri kepala dan leher dan pengamal perubatan am dapat membawa pada penjagaan pesakit yang lebih efisien dan berkesan.
“Oleh itu, preskripsi untuk merawat penyakit sinus secara rutin dapat diselesaikan dengan memberi indikasi yang betul dan sesuai dengan pesakit,” katanya lagi.
Profesor Dr. Baharudin Abdullah memulakan kerjaya sebagai pensyarah pelatih di PPSP pada tahun 1998 sehinggalah hari ini beliau seorang pensyarah dan juga pakar perubatan klinikal di Hospital USM.
Teks: Nur Syazwani Darzi (Pelajar Praktikal UIAM) / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood