USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Mac 2018 – Malam Kebudayaan India (MKI) 2018, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan menjadi platform terbaik kepada warga universiti mahupun masyarakat luar untuk mengenal dengan lebih dekat akan aspek-aspek kebudayan India yang mempunyai keunikan tersendiri sesuai dengan Gagasan 1Malaysia.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata, MKI merupakan saluran yang tepat untuk memberikan pendedahan serta menyebarluas info silang budaya antara pelbagai etnik dalam kalangan pelajar untuk merapatkan jurang antara kaum tanpa mengira agama dan bangsa.
“Saya yakin, keunikan tarian dan kekayaan budaya India akan menarik perhatian kita semua pada malam ini dengan cahaya lampu yang mempesona, hiasan dewan yang cantik membuktikan bahawa pelajar-pelajar Kampus Kesihatan bukan hanya ulat buku tetapi berjaya menonjolkan bakat tersembunyi dalam kemahiran tarian budaya mereka.
“Selain cemerlang dalam akademik, mereka juga membuktikan kemampuan mereka seiring dengan nama USM sebagai universiti APEX dalam melahirkan graduan yang unggul dan seimbang antara sains dan seni,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.
Asma berkata, USM bukan sahaja menitik beratkan aspek pelajaran berdasarkan kursus yang diambil, tetapi turut mencungkil bakat individu holistik dari segi pengetahuan dan bakat.
“MKI diharap dapat mewujudkan kesedaran tentang kepentingan menghormati dan memahami tentang kepelbagaian budaya di Malaysia sekaligus membuka jalan untuk keharmonian dalam perpaduan antara kaum.
“Selain itu, persembahan kebudayaan seperti ini memberi peluang kepada kita untuk berkumpul di bawah bumbung yang sama seperti sebuah universiti,” jelasnya lagi.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim, dekan-dekan dan timbalan dekan, Penasihat Budaya Masyarakat India USMKK, Profesor Madya Dr T.P Kannan dan Dr Regunath Kandasamy serta ketua-ketua jabatan.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri