USM KUBANG KERIAN, 31 Julai 2018 - 'Microsleep' merupakan satu keadaan di mana seseorang itu terlelap dalam jangka masa kurang dari 10 saat yang mana otak akan tertidur tetapi badan masih meneruskan aktiviti yang sedang dilakukan.
Menurut Pensyarah Kunjungan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) yang juga merupakan mantan Dekan PPSG, Profesor Datuk Dr Ab Rani Samsudin, orang yang mengalami ‘microsleep’ ini berjaya dalam pemanduannya mungkin disebabkan pengalaman atau kebiasaan membawa kenderaan menuju ke satu-satu destinasi tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Contohnya pengalaman membawa kereta 10 tahun dari rumah sendiri ke rumah ibubapa membantu mereka walaupun mereka mengantuk semasa pemanduan selain sikap prihatin dan berhati-hati pemandu lain yang turut menyumbang kepada keselamatan apabila cuba mengelak kereta yang dipandu secara terumbang-ambing oleh pemandu yang mengalami ‘microsleep’ ini.
“Namun perlu diingatkan bahawa jika berlaku kemalangan akibat 'microsleep', itu adalah mungkin sekali sahaja dan yang terakhir kerana ianya boleh membawa maut,’’ katanya semasa ditemubual.
Tambah Ab Rani, fokus pandangan seseorang yang tidak cukup tidur selama empat jam adalah sama seperti meminum satu gelas alkohol dan jika berlaku kemalangan jalan raya kebiasaannya ujian darah diambil untuk menentukan paras alkohol namun tanpa disedari kita terlepas pandang tentang masalah tidak cukup tidur turut menyumbang kepada berlakunya kemalangan.
"Kes-kes begini banyak berlaku ke atas pemandu-pemandu bas yang membuat tambahan masa bekerja terutama pada musim perayaan.
"Orang ramai perlu mempunyai kesedaran tentang pentingnya tidur yang cukup, bagaimana hendak tidur dengan baik dari segi kesihatan tidur ‘sleep hygine’ , jangkamasa tidur yang mencukupi dan tidur yang berkualiti," ujarnya lagi.
Ab Rani berkata, selain mengurangkan aktiviti sukan pada waktu malam kerana akan mengakibatkan suhu badan meningkat dan mengangggu proses untuk tidur, mengambil makanan empat jam sebelum tidur juga perlu dititikberatkan.
"Keadaan bilik tidur perlu selesa, tidak terganggu dengan kebisingan, suasana gelap dan tidak panas akan menyumbang kepada tidur yang cukup dan perlu diingatkan tidur yang enak adalah orang yang tidur dan terjaga sendiri tanpa perlu dipaksa oleh jam loceng yang berdering atau kejutan oleh orang lain,” katanya.
Jelas Ab Rani, pada masa kini, gajet seperti telefon pintar dan televisyen turut memainkan peranan mengurangkan masa tidur selama satu jam pada waktu malam selain turut mengakibatkan obesiti.
"Penggunaan gajet dalam tempoh yang lama akan menyebabkan tidur yang tidak cukup seterusnya meningkatkan hormon ‘Ghrelin’ dalam badan yang mana hormon ini akan menghasilkan isyarat rasa lapar dalam diri seseorang.
“Hormon 'ghrelin' yang tinggi menyebabkan seseorang itu akan memilih makanan yang tidak sihat iaitu yang mengandungi rasa manis atau masin dan ini akan menyebabkan mereka terdedah kepada obesiti,” tambahnya lagi.
'Microsleep’ adalah satu permasalahan kesihatan yang boleh dicegah tanpa memerlukan sebarang kos, tetapi individu perlu memastikan tidur mereka pada waktu malam mencukupi dan berkualiti.
Teks & Foto : Mohd Hafiz Ya’acob