USM KUBANG KERIAN, 15 Ogos 2018 - Memiliki zuriat adalah impian setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga. Namun, tidak semua pasangan suami isteri mampu memiliki zuriat secara normal kemungkinan disebabkan masalah kesihatan dan kesuburan yang dihadapi oleh mereka.
Masalah kesuburan adalah masalah besar dan merupakan satu kondisi yang melibatkan perasaan individu dan masalah ini juga boleh mengakibatkan kemusnahan ikatan pernikahan serta institusi keluarga.
Menyedari masalah tersebut, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah menawarkan rawatan awal infertiliti pada tahun 1998. Sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan masyarakat khususnya rakyat negeri Kelantan, Hospital USM membangunkan Klinik Infertiliti bagi rawatan permanian beradas pada tahun 2000 sehinggalah Unit Rawatan Masalah Kesuburan yang menawarkan perkhidmatan 'Invitro Fertilisation' (IVF) dan 'Intracytoplasmic Sperm Injection' (ICSI) berjaya ditubuhkan sepenuhnya pada tahun 2014.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail berucap semasa merasmikan unit tersebut berkata, unit ini merupakan 'one stop centre' untuk rawatan infertiliti di mana pesakit akan diberi pemeriksaan awal untuk mengenalpasti punca dan masalah sebelum mereka diberikan sesi kaunseling dan rawatan yang bersesuaian.
"Sejarah dicipta oleh unit ini apabila bayi IVF yang pertama telah dilahirkan pada 10 Ogos 2015 dan sehingga tahun 2017, unit ini telah berjaya mencatatkan peratusan kejayaan mengandung sebanyak 33%.
"Walaupun kos rawatan IVF menelan belanja yang tinggi iaitu antara RM15 hingga RM50 ribu untuk sekali rawatan, namun hampir 100 orang pesakit baharu dirawat setiap tahun bukan sahaja dari Kelantan malahan menerima rujukan dari negeri Terengganu, Johor dan Selangor," ujarnya.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr Shaiful Bahari Ismail, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Madya Dr Mohd Pazudin Ismail dan Penyelaras Klinikal Unit Rawatan Masalah Kesuburan, Profesor Madya Dr Adibah Ibrahim.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood