KUBANG KERIAN, 16 Ogos 2018 - Sejak tahun 1993, Kerajaan telah melaksanakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atau ringkasnya APC bagi menghargai pegawai perkhidmatan awam yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang dan bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai.
Kaedah pengiktirafan ini telah ditambah baik melalui Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 2, Tahun 2002 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2012 selaras dengan transformasi negara ke arah budaya kerja berprestasi tinggi dan berinovasi bagi menggalakkan penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha dalam mempertingkatkan mutu kerja dan produktiviti diri mereka.
Saban tahun, Universiti Sains Malaysia (USM) tidak ketinggalan meraikan kakitangan yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan untuk tahun yang dinilai. Seramai 422 warga staf Kampus Kesihatan yang cemerlang dari seluruh Pusat Tanggungjawab (PTJ) telah diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Jasamu Dikenang 2017 di Hotel The Grand Renai, di sini baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa, Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang mewakili Naib Canselor USM dalam ucapannya berkata, pengiktirafan ini adalah sebagai tanda USM menghargai kakitangan yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang dalam membantu mengukuhkan kedudukan universiti sebagai medan ilmu yang disegani.
“Cabaran yang kita hadapi sekarang dan pada masa hadapan memerlukan kesediaan kita untuk bekerja keras, bertindak pantas serta kreatif dan inovatif dalam menyampaikan perkhidmatan serta benar-benar komited serta fokus dalam merealisasikan agenda kecemerlangan universiti.
“Kini, kedudukan USM semakin mengukuh apabila kita diiktiraf sebagai universiti ke-14 terbaik di dunia bagi kategori ‘Top 50 Under 50’ dan ianya memerlukan penglibatan, kerjasama serta komitmen seluruh warga USM kerana tiada jalan pintas ke arah mengukuhkan kedudukan universitibdan saya yakin, USM mampu menghasilkan bakat dan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan bertaraf ‘world class' ," ujar beliau.
Selain daripada penerima APC, seramai 123 mantan warga staf turut diraikan bagi Anugerah Jasamu Dikenang yang terdiri daripada 62 orang Bersara Wajib, 57 orang Bersara Pilihan dan empat (4) orang Bersara Terbitan (meninggal dunia).
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim, Pendaftar USM, Dr Musa Ali serta pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
Foto: UKAST