USM KUBANG KERIAN, 1 Sept. 2018 - "Sebagai ahli keluarga terutamanya suami, perlu memberi sokongan dan kekuatan kepada isteri yang menyusukan bayi", demikian kata Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim dalam ucapannya sempena 'Breastfeeding Awareness Walk' dan Majlis Penutup Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2018 Peringkat USM.
Menurut Sukari, jika dilihat pada tema sambutan iaitu 'Penyusuan Ibu Asas Kehidupan', ianya membawa pengertian bahawa susu ibu sebagai satu penyelesaian universal yang memberi peluang adil kepada setiap orang memulakan kehidupan serta untuk kesejahteraan kehidupan wanita dan kanak-kanak di seluruh dunia.
"Saya menyambut baik program sebegini kerana 'Breastfeeding Awareness Walk' ini bukan semata-mata berjalan tetapi turut menyebarkan maklumat melalui sepanduk dengan kata-kata semangat dan menyokong program penyusuan susu ibu", katanya.
Sukari turut menegaskan bahawa Hospital USM yang merupakan Hospital Rakan Bayi amat menyokong penyusuan susu ibu.
"Apa yang lebih membanggakan ialah ada dalam kalangan ibu-ibu menjadi ibu susuan dengan mendermakan susu mereka secara tetap kepada bayi-bayi yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi atau NICU di Hospital USM," jelasnya lagi.
Seramai 700 peserta yang terdiri dari 350 keluarga menyertai acara yang julung kali diadakan di USM ini. Peserta berjalan beramai-ramai bersama keluarga sejauh 2.2 kilometer dan diselangi aktiviti sampingan untuk anak-anak.
Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2018 Peringkat USM telah bermula sejak 1 Ogos yang lalu dengan pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti pameran penyusuan dalam situasi biasa dan semasa bencana, penyampaian cenderahati kepada ibu-ibu di wad post natal dan antinatal, pertandingan mencipta logo persatuan Kumpulan Sokongan Susu Ibu USM (KSSUSM) dan 'Breastfeeding Awareness Walk' sebagai acara kemuncak sambutan.
Dalam majlis yang sama, penyampaian hadiah bagi pertandingan mencipta logo persatuan KSSUSM, pertandingan sepanduk penyusuan tercantik serta Anugerah Ibu Susuan turut diadakan.
Turut hadir dalam majlis penutup adalah Ketua Penolong Pengarah Kanan Pemakanan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Puspawati Mohamad, Pengerusi Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Hospital USM, Profesor Madya Dr Noraida Ramli, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Madya Dr Mohd Pazudin Ismail, Ketua Jabatan Pediatrik, Profesor Madya Dr Norsarwany Mohamad dan Pengerusi Persatuan Kumpulan Sokongan Susu Ibu, Dr Zaharah Sulaiman.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
Foto: Mohd Hafiz Ya'acob