USM KUBANG KERIAN, 23 September 2018 - Jalinan kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sejak lima tahun dahulu terus memberikan impak positif apabila hari ini sebuah kerusi roda dan kasut yang dimodifikasi telah disumbangkan kepada seorang pelajar berkeperluan khas.
Menurut Muhammad Hadi Darus, 22, anak kelahiran Gua Musang, Kelantan, beliau tidak menjadikan kekurangan dirinya yang dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) halangan malahan menjadi pelajar yang aktif terutamanya dalam bidang debat di mana beliau pernah menjadi Johan Inter Varsity Young Motivator Competition, Tempat ketiga Pertandingan Motivator Kategori OKU di Universiti Malaya (UM) 2017 dan dinobatkan sebagai Ikon USIM untuk program motivasi di sekolah bersama pihak Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dan Jumaah Profesor (School Attack).
"Saya sangat berterima kasih dan menghargai segala jasa baik pihak USM terutamanya Profesor Datuk Dr Asma Ismail, Pasukan Kerusi Roda USM yang diketuai oleh Dr Mohd Zulkifli Abd Rahim serta tidak lupa Profesor Dr Mohamad Yahya Ariffin, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), USIM serta pasukan beliau yang banyak membantu saya selama ini.
"Saya akan gunakan sebaiknya kerusi roda yang disumbangkan ini bukan sahaja sepanjang pengajian di USIM malahan apabila saya berada di dunia luar nanti", ujarnya yang merupakan pelajar tahun empat, Program Syariah dan Undang-undang USIM.
Kerusi roda yang diterima Muhammad Hadi merupakan sebuah kerusi istimewa yang telah dimodifikasi khas mengikut keperluan dengan mengambilkira aspek penggunaan secara menyeluruh seperti keadaan kecacatan serta keperluan penggunaan dan persekitaran malahan sebelum penyerahan, pasukan kerusi roda terlebih dahulu akan membuat 'fitting' untuk memastikan ia bersesuaian dengan keadaan penggunanya.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood