ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

PENGGANTIAN YANG HILANG: HARAPAN DAN CABARAN


USM KUBANG KERIAN, 21 Oktober 2018 - "Kepelbagaian bentuk dan jenis gigi iaitu incisor, taring, pra molar dan molar mempunyai fungsi khusus dalam menghancurkan makanan dan hasil penyelidikan yang dibuat, ketiadaan gigi akan memberi kesan negatif kepada keupayaan untuk mengunyah makanan", demikian perkongsian oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Adam Husein yang menyampaikan syarahan sempena Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor di sini.

Profesor Dr adam2

Menurutnya, selain untuk mengunyah dan menghancurkan makanan, gigi juga berfungsi sebagai salah satu alat percakapan, kerana kombinasi antara gigi, bibir dan lidah serta organ-organ lain di dalam mulut amat penting bagi menghasilkan bunyi dan sebutan.

"Selain daripada itu, kecantikan dan penampilan yang menarik turut dipengaruhi oleh susunan gigi yang cantik," ujarnya.

Berdasarkan tajuk Penggantian Yang Hilang: Harapan Dan Cabaran, Adam mengupas berkaitan penggantian gigi bagi mereka yang mengalami masalah kehilangan gigi sama ada kehilangan penuh atau kehilangan separa.

Profesor Dr adam3

"Terdapat enam faktor yang mengakibatkan seseorang kehilangan gigi iaitu keturunan atau genetik, cabutan atau pereputan akibat karies, penyakit gusi, kemalangan, kecederaan mahupun trauma, kesan ketumbuhan, kanser oral, dan ada juga kes kehilangan akibat cabutan yang tidak sengaja atau tersalah cabut.

"Mereka yang kehilangan gigi tidak perlu risau kerana pelbagai kaedah penggantian gigi boleh dibuat bergantung kepada jumlah gigi yang hilang sama ada kehilangan separa atau kehilangan penuh melalui tiga kaedah iaitu dentur, jambatan, implan dan sel stem. Namun, kos rawatan adalah berbeza dan bergantung kepada pesakit untuk memilih rawatan yang bersesuaian", jelasnya lagi.

Menurut Adam, ketiga-tiga rawatan tersebut adalah bersifat palsu dan tidak sama dengan gigi asal.

Profesor Dr adam1

"Oleh yang demikian, para penyelidik termasuk di PPSG sendiri menjalankan penyelidikan sel stem sebagai matlamat jangka panjang untuk menumbuhkan semula gigi bagi menggantikan gigi yang telah hilang.

"Projek ini telah memberikan hasil-hasil yang memberangsangkan di mana sel-sel yang berkaitan dengan gigi seperti 'odontoblast' dan 'cementoblast' telah berjaya dihasilkan daripada sel stem gigi susu dan kekal," katanya.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 10 Jun 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.