PULAU PINANG, 22 Oktober 2018 - Berbekalkan semangat dan komitmen tidak berbelah-bahagi terhadap kerjaya nyata memberi impak yang besar kepada Rozilah Hamzah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Sanggar Sanjung kategori Anugerah Pentadbir Sanjungan.
Beliau yang telah 14 tahun berkhidmat sebagai Jurutera Mekatronik di Jabatan Pembangunan Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) turut terlibat dalam Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001 sehingga memperolehi persijilan dari SIRIM Berhad pada tahun 2006.
Menurut Rozilah, memang tak dinafikan banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam tugasan seharian, namun tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, istiqamah dan berintegriti supaya ia dapat menghasilkan sesuatu yang produktif serta berkualiti bukan sahaja dalam negara malahan jika boleh hingga ke peringkat antarabangsa.
"Anugerah ini menjadi penguat dan membakar semangat untuk saya lebih komited dalam menjalankan tugas serta meningkatkan produktiviti dalam membantu memartabatkan nama USM", katanya.
Rozilah yang juga alumni USM dalam bidang Kejuruteraan Elektronik telah diberi tanggungjawab dan kepercayaan dalam penubuhan Makmal Kalibrasi pada tahun 2008 yang merupakan entiti baharu dalam universiti dan menawarkan perkhidmatan tentukur peralatan makmal dalam menyokong hasil penyelidikan serta menjana pendapatan universiti sehingga makmal tersebut telah memperolehi akreditasi MS ISO 17025 dari Standard Malaysia pada tahun 2010.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail, FASc.
Majlis Sanggar Sanjung 2018 turut diserikan dengan keberangkatan Canselor USM, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul RashidFoto: Mohd Fairus Md. Isa