100 OKU ASNAF TERIMA KERUSI RODA MANFAAT PROGRAM PTOKU USM -MAIK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Februari 2025 - Seramai 100 orang kurang upaya (OKU) asnaf menerima manfaat daripada program yang dijalankan hasil sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Majlis Penyerahan Kerusi Roda yang dimodifikasikan kepada golongan berkeperluan khas, hari ini.
Dengan kejayaan program yang dijalankan sejak tahun 2018 ini, USM berharap kerjasama tersebut dapat diperluaskan kepada pelbagai agensi bagi memperkasakan golongan OKU serta memberi peluang kepada golongan tersebut mengatasi cabaran hidup.
Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak berkata, penyerahan kerusi roda yang diadakan pada hari ini membuka ruang bukan sahaja kepada golongan OKU, tetapi juga kepada agensi serta organisasi yang sentiasa menyokong usaha ini.
“USM turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Program Penilaian Kerusi Roda OKU yang telah bekerja keras dalam memperkasakan golongan ini.
“Usaha murni ini diharap dapat diteruskan lagi bagi meningkatkan kesejahteraan OKU di Kelantan dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kerusi Roda OKU Asnaf Kelantan di perkarangan Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, di sini hari ini.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Mohamad Safwan Abdullah, 40, dan isterinya Nurul Amirah Mohamad Napi, 41, yang menguruskan tiga (3) anak berkeperluan khas menzahirkan penghargaan di atas penerimaan kerusi roda untuk ketiga-tiga anak mereka itu.
Mohamad Safwan yang bekerja di kilang pemprosesan ayam dan isterinya yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa bergelut dengan kos penjagaan tiga (3) anak mereka yang tinggi.
Tiga (3) cahaya mata mereka ialah Nurul Amanda Safwan, 11, Mohamad Syahmi, 8, dan Nurul Ariana, 6, memerlukan penjagaan khas termasuk rawatan berkala, keperluan harian seperti lampin pakai buang, susu khas dan pengangkutan ke hospital.
“Amanda dan Syahmi bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 2 dalam program pendidikan khas manakala Ariana masih memerlukan pemantauan rapi.
“Kos susu khas dan lampin sahaja sudah mencecah RM500 sebulan, ditambah lagi dengan kos rawatan dan terapi, ia memberi tekanan besar kepada kewangan kami.
“Kami menghadapi kesukaran dalam rutin harian seperti memandikan, memberi makan dan mengurus keperluan kebersihan anak-anak istimewa ini dan kami mengucapkan terima kasih kepada pihak MAIK serta USM atas sumbangan kerusi roda ini yang membantu meringankan beban kami,” kata Mohamad Safwan ketika ditemu bual.
Sementara itu, ibu kepada seorang lagi penerima kerusi roda, Wan Rosbila Wan Kamarudin, 44, berkata, anak sulungnya Mohamad Amizul Mohamad Ismail, 20, mengalami masalah tulang belakang sejak berumur enam (6) tahun selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Sejak kemalangan itu, anak saya tidak dapat berjalan dan kami perlu membantu beliau menguruskan diri seperti biasa kerana dia hanya mampu duduk di atas kerusi roda.
“Alhamdullilah inilah kali pertama dia menerima kerusi roda percuma dan saya amat bersyukur anak saya terpilih sebagai salah seorang penerima memandangkan kerusi roda lamanya sudah uzur dan hampir rosak,” ujarnya.
Wan Rosbila juga berharap agar kerusi roda baharu itu dapat memudahkan urusan harian dan pergerakan anaknya.
Program Penilaian Kerusi Roda OKU Asnaf Kelantan bukan sahaja bertujuan membantu golongan OKU tetapi juga memberi kesedaran kepada semua bahawa kebanyakan kerusi roda biasa di pasaran hanya sesuai digunakan untuk transportasi sementara dan tidak sesuai digunakan oleh golongan OKU kerana setiap daripada mereka mempunyai masalah yang berbeza.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Agihan Zakat mewakili Yang Dipertua MAIK, Siti Farahida Fauzi; Ketua Perkhidmatan Pentadbiran dan Latihan Unit Klinikal, Hospital Pakar USM; Dr. Tengku Mastura Tengku Mohd dan Ketua Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 240