Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

AHMAD SYAFWAN JURURAWAT PERINTIS REHABILITASI HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Mei 2020 – Bidang kejururawatan merupakan tugas mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi terutama ketika melayani pesakit hinggakan kerjaya itu dianggap hanya sesuai untuk golongan wanita.

AHMAD SYAFWAN 1

Ahmad Syafwan Awang menangkis tanggapan masyarakat dengan menceburi bidang kejururawatan dan membuktikan bahawa jururawat lelaki amat diperlukan seiring dengan perkembangan bidang perubatan dan perawatan serta kepentingan penjagaan pesakit mengikut hukum syarak.

Beliau yang bertugas di Wad Satu Selatan (1S), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tiada jurang perbezaan ketara antara jantina berikutan kedua-duanya memikul cabaran dan tugas yang sama malahan sekarang ramai dalam kalangan kaum lelaki menjadikan kejururawatan sebagai kerjaya pilihan.

AHMAD SYAFWAN 2

Memulakan tugas pada tahun 2009, beliau sentiasa mencari peluang meningkatkan kemahiran serta pengetahuan untuk memantapkan lagi kerjaya yang diceburi.  Hasilnya pada tahun 2016, beliau berjaya memperolehi Sijil Pos Basik Rehabilitasi setelah menamatkan latihan selama enam bulan di Kolej Kejururawatan Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan merupakan jururawat perintis di Hospital USM yang memiliki sijil tersebut.

Menurut Ahmad Syafwan, rehabilitasi adalah perawatan pemulihan yang khusus untuk mengendalikan pesakit-pesakit yang tidak berupaya seperti lumpuh, strok melalui cara pengendalian dan pengurusan pesakit yang betul.

AHMAD SYAFWAN 3

“Pengurusan pesakit rehab ditunjangi oleh kumpulan yang terdiri daripada jururawat, pegawai pemulihan, pegawai perubatan dan terapi pertuturan yang mana masa yang diambil dalam proses rawatan rehablitasi adalah dari dua minggu sehingga dua bulan bergantung kepada tahap kemampuan pesakit.

“Contohnya pesakit yang datang lumpuh akibat kemalangan, kumpulan ini akan membuat penilaian untuk menentukan tahap pesakit boleh dibantu sama ada boleh duduk di kerusi roda, berjalan dengan tongkat dan sebagainya,” katanya ketika ditemubual di sini.

AHMAD SYAFWAN 4

Tambahnya, biasanya pesakit lumpuh akan mempunyai masalah untuk membuang air kecil atau besar dan di sini peranan yang kita mainkan agar pesakit dan peneman pesakit dapat dibantu untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Tanggungjawab saya sebagai jururawat adalah untuk mengajar pesakit dan peneman cara pengunaan wayar silikon untuk membuang air kecil setiap empat jam dengan menitikberatkan tahap kebersihan supaya tidak timbul masalah jangkitan kuman dan sebagainya, setelah itu pesakit atau peneman mampu berdikari untuk melakukan sendiri.

“Begitu juga jika ingin membuang air besar bagi pesakit lumpuh, mereka memerlukan ubat untuk urusan tersebut dan biasanya jururawat akan mengajar cara memasukan ubat yang betul dalam tempoh masa seperti dua hari sekali dan ini akan menjimatkan penggunaan lampin pakai buang,” ujar beliau.

Pernah terlibat dalam program Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) anjuran ‘Malaysian Productivity Corporation’ (MPC) bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada tahun 2014, Ahmad Syafwan dan kumpulannya telah menghasilkan alat ‘Redi Vest’ yang mana alat ini mampu memudahkan pesakit bergerak walaupun menggunakan tiub saliran beserta botol selepas menjalani pembedahan di leher.

Penyertaan mereka ternyata membuahkan hasil apabila alat ‘Redi Vest’ tersebut memenangi pingat emas di peringkat kebangsaan.

Ahmad Syafwan berharap agar beliau mampu mengembalikan tahap kemampuan setiap pesakit untuk berdikari setelah lama mengalami lumpuh sehingga dapat melakukan aktiviti pengurusan diri tanpa membebankan orang lain.

Pemilik Diploma Kejururawatan daripada Universiti Darul Iman ini turut menjelaskan dorongan daripada keluarga terutama ibu menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berkecimpung dalam bidang kejururawatan walaupun pernah terdetik perasaan malu untuk memilih kerjaya tersebut.

"Perasaan malu itu kini lenyap dan saya amat berbangga bergelar seorang jururawat kerana dapat berbakti kepada masyarakat dan negara. Segala cabaran saya tempuhi dengan cekal dan tabah terutama kerenah pesakit yang bermacam-macam ragam namun itu tidak mematahkan semangat saya,” katanya lagi.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Muhammad Amin Syafiq Sakri

  • Created on .
  • Hits: 377