USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Oktober 2021 - Proses Audit Pensijilan Semula Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001: 2015 Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) diadakan secara maya bermula 11 hingga 13 Oktober 2021 yang lalu.
Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, proses pengauditan pada kali ini memfokuskan ke arah mencapai misi dan visi Hospital USM dalam usaha menangani risiko ke atas keselamatan pesakit, persekitaran penjagaan pesakit dan kakitangan Hospital USM.
"Alhamdulillah, proses audit pada kali ini berjalan lancar walaupun ini merupakan pengalaman pertama bagi semua yang terlibat diaudit secara maya dan dokumen-dukumen berkaitan yang diperlukan dimuat naik menerusi 'sharepoint' untuk semakan auditor.
"Bagi pihak pengurusan Hospital USM, ribuan terima kasih saya ucapkan kepada empat (4) orang juruaudit dari 'Standard and Industrial Research Institute of Malaysia' (SIRIM) yang telah meluangkan masa dan tenaga untuk melaksanakan proses audit dengan teliti dan komprehensif," katanya.
Sukari berkata, Hospital USM bersedia menerima sebarang penemuan yang dikemukakan bagi melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan lagi sistem pengurusan Hospital USM seterusnya mengorak langkah menghala MSQH serta penarafan di peringkat dunia.
"Alhamdulillah, dalam mesyuarat penutup audit pada Selasa lalu iaitu 13 Oktober, pihak SIRIM telah memperakukan pensijilan semula Standard ISO 9001:2015 tanpa sebarang 'Nonconformity Report' (NCR)
"Sijil sedia ada akan tamat tempoh pada 6 November 2021 dan auditor telah mengesyorkan pensijilan semula MS ISO 9001: 2015 Hospital USM tanpa sebarang perubahan dijangka berkuatkuasa sehingga 2024 tertakluk dokumen pengesahan pihak SIRIM yang akan diterima dalam waktu terdekat.
"Saya percaya ini adalah daripada usaha dan kerja keras secara berpasukan semua jabatan dan unit di Hospital USM yang diketuai oleh Penyelaras Sistem Pengurusan Hospital, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar," jelasnya lagi.
Sukari turut berharap agar hasil audit tersebut membantu Hospital USM ke arah memberi perkhidmatan yang lebih baik pada masa akan datang selaras dengan misinya ingin mentransformasi penjagaan kesihatan untuk kelestarian hari esok.
Tambah beliau, penambahbaikan secara berterusan akan dijalankan bagi memastikan rawatan dan penjagaan keselamatan pesakit sentiasa berada pada tahap optimum.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Amira Abdul Sattar