Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

BACAAN YASIN SEMPENA KEMERDEKAAN TANDA SYUKUR WARGA KAMPUS KESIHATAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Ogos 2021- Gema bacaan ayat suci Surah Yaasin secara berjemaah oleh keluarga Universiti Sains Malaysia (USM) mengisi malam ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-64 dengan penuh makna.

SAVE 20210831 095441

Majlis bacaan Yaasin secara maya ini merupakan antara atur cara sambutan kemerdekaan negara peringkat Kampus Kesihatan yang dirangka oleh Pejabat Pengarah Kampus dan Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) dengan kerjasama Pusat Islam Kampus Kesihatan.

Ianya bertujuan mendekatkan hati seluruh warga kampus khususnya dan umat Islam amnya dalam menghayati Al-Quran serta boleh dianggap satu kempen dalam memerdekakan diri, agama, bangsa dan negara.

Warga USM dipohon berazam untuk melebihkan Al-Quran dan Sunnah serta sentiasa berdoa untuk kesejahteraan negara Malaysia agar negara kita bebas daripada  pandemik COVID-19 dan kembali kepada rutin norma yang lebih baik berbanding sekarang.

Sempena sambutan Hari Merdeka ke-64 yang jatuh pada bulan Muharam, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang turut menyertai majlis tersebut dalam ucapannya mengingatkan warga Universiti untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan.  

"Merdekakan diri menjadi insan yang lebih baik, lebih beradab dalam memberi sebarang komentar dan yang paling penting menjadi muslim lebih baik dan cemerlang," ujarnya. 

Beliau juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada penganjur serta mengharapkan USM sentiasa mendapat keberkatan dengan adanya aktiviti-aktiviti kerohanian seperti ini.

Turut bersama dalam majlis berkenaan adalah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Teks: Mohamad Hairol Rasli

  • Created on .
  • Hits: 329