Kejohanan yang disertai oleh 15 pasukan dari seluruh negeri Kelantan itu bermula pada Febuari lalu di mana Juara merangkul wang tunai RM 3,000 dan Naib Juara RM1,500 terpaksa ditangguhkan selama tujuh bulan selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.
Timbalan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Adam Husein berkata, perlawanan bola sepak ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara staf USM dan agensi kerajaan lain di Kelantan selain merapatkan ukhwah melalui acara sukan dan bukan mencari pemenang semata-mata.
"Ia juga merupakan salah satu cara untuk menjaga kesihatan di mana USM amat menyokong program-program sebegini tidak kira dalam apa jua bentuk aktiviti malah USM juga terkenal dengan slogan USMFIT yang sering diwar-warkan oleh staf dan pelajar.
"Saya juga sangat berpuas hati dan mengucapkan tahniah kerana penganjur amat menitikberat tentang 'Standard Operating Procedure' (SOP) sepanjang kejohanan berlangsung," katanya yang ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang.
Tambah Adam, beliau berharap program sebegini berterusan bagi membantu mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan staf untuk diketengahkan menerusi pelbagai acara sukan.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Pengurus Besar KESEDAR Negeri Kelantan, Iskandar Zulkarnain Ibrahim, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) Negeri Kelantan, DSP Ab. Aziz Che Embong, Ketua Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Kampus Kesihatan USM, Noordini Ghazali dan Presiden Kelab Bola Sepak USM Kampus Kesihatan, Nik Mohamed Ikram Nik Mahamud.
Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria