BUKU PELAPORAN KRIS DOKUMENTASI KEJAYAAN KOLABORASI KPT USM
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Januari 2023 - Kolaborasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) nyata memberi impak positif kepada masyarakat khususnya golongan sasaran B40 dan berkeperluan khas.
Pengerusi Program KRIS Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria berkata, sebagai sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU), Hospital USM turut berperanan mempromosi program-program komuniti dengan tujuan untuk menyebarluas maklumat, mempergiat kempen kesedaran penjagaan kesihatan, memberi perkhidmatan saringan kesihatan serta konsultasi rawatan kepada komuniti.
"Projek pertama KRIS Hospital USM adalah pemberian vaksin bergerak di Penjara Pengkalan Chepa menerusi Program 'Outreach KRIS' pada 21 September 2021.
"KRIS merupakan satu program yang unik kerana kita memfokuskan perkhidmatan perawatan yang berbeza mengikut pola geografi serta keperluan penduduk.
"Antara perkhidmatan yang diberi adalah saringan kesihatan asas, saringan awal kanser, pemeriksaan mata, rawatan pergigian, pemakanan, berkhatan dan tidak ketinggalan program pengupayaan komuniti seperti runding cara pemulihan anggota, transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), kesihatan mental dan pelbagai lagi," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital USM turut menjelaskan bahawa penghasilan Buku Pelaporan Program KRIS 2021 - 2022 adalah sebagai bukti dana yang disalurkan oleh KPT, digunakan sepenuhnya untuk kepentingan masyarakat.
"Buku pelaporan ini juga merupakan rujukan informasi berkenaan projek-projek yang telah dilaksanakan sama ada secara 'one off' ataupun bersiri sejak Julai 2021 sehingga Disember 2022.
"Bagi pihak pengurusan Hospital USM saya berterima kasih dan sangat berbangga dengan komitmen serta dedikasi semua staf yang terlibat dengan setiap program walaupun pada hujung minggu. Kerjasama erat sesama staf adalah faktor kejayaan program KRIS Hospital USM," ujarnya lagi.
Menurut Zaidi, suntikan dana KRIS nyata memberi peluang kepada pelbagai jabatan di USM untuk berganding bahu bukan sahaja sesama jabatan malah turut bekerjasama dengan organisasi kerajaan lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan aktiviti untuk penduduk di lokasi yang terpilih melibatkan negeri Kelantan, Utara Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Pelancaran edisi pertama buku pelaporan ini telah disempurnakan oleh Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman disaksikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Timbalan Pengarah Operasi, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud serta Timbalan Pendaftar Kanan, Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am, Mohd Saberi Mohd Yusoff.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 167