Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

DASAR KESAKSAMAAN GENDER USAHA PERTINGKAT KEPERLUAN HIDUP DAN SOSIAL MASYARAKAT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 September 2024 - Dasar kesaksamaan gender adalah satu langkah penting dalam semua sektor termasuk sektor kesihatan. Ia merupakan satu perkara yang rumit dan sensitif kerana melibatkan pelbagai lapisan dan dimensi dalam masyarakat serta institusi.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, pelbagai isu telah dibangkitkan berkaitan perkara ini namun apa yang lebih penting adalah memahami maksud sebenar kesaksamaan gender itu sendiri.

IMG 20240923 WA0014

"Secara umumnya, kesaksamaan gender bukan sekadar memberi peluang yang sama kepada golongan lelaki dan wanita dalam pelbagai aspek seperti pekerjaan, pendidikan atau sosial tetapi juga merangkumi pemahaman mengenai peranan jantina dan persepsi gender yang mempengaruhi pengalaman serta peluang hidup individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program ‘Town Hall’ Dasar Kesaksamaan Gender di Bilik Persidangan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), di sini hari ini.

IMG 20240923 WA0012

Menurut beliau, dasar kesaksamaan dalam sektor kesihatan juga memberi peluang dan hak sama rata kepada golongan lelaki dan wanita untuk merealisasikan hak dan potensi penuh golongan terbabit untuk menjadi sihat, menyumbang kepada pembangunan kesihatan dan mendapat manfaat daripada hasilnya.

“Perkara itu turut merangkumi akses kepada rawatan, penyertaan dalam keputusan perubatan dan pengiktirafan terhadap peranan wanita dan lelaki dalam sektor berkenaan.

IMG 20240923 WA0015

"Kesaksamaan gender juga perlu dalam menangani norma budaya, tanggapan sosial serta jangkaan tradisional. Justeru, dasar ini diharap dapat membentuk persekitaran kerja dan pembelajaran yang lebih inklusif di samping setiap individu mendapat peluang yang adil untuk berkembang, maju dan mencapai potensi sepenuhnya,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan, isu diskriminasi seperti 'stereotaip gender' dan ketidakseimbangan dalam tanggungjawab yang wujud di tempat kerja boleh mempengaruhi kesejahteraan serta prestasi kerja dalam kalangan staf.

IMG 20240923 WA0011

"Dengan adanya dasar kesaksamaan gender ini, kita dapat mengenal pasti dan menghapuskan halangan-halangan yang ada selain perlu mewujudkan sistem sokongan persekitaran bagi menggalakkan semua staf, pelajar dan pengamal kesihatan untuk berasa dihargai dan mempunyai kelebihan peluang yang sama.

"Sebagai contoh, wanita yang mungkin terpaksa memilih antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga atau lelaki yang menghadapi tekanan untuk memenuhi tanggungjawab sosial tertentu," katanya.

Shaiful berkata, dalam bidang kesihatan, situasi terbabit sudah tentu memberi kesan kepada kualiti perkhidmatan dan kesejahteraan pengamal kesihatan.

IMG 20240923 WA0013

“USM boleh menjadi contoh terbaik dalam memperjuangkan kesaksamaan dan keadilan sosial serta memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan saksama kepada semua lapisan masyarakat apabila kita sendiri memahami sepenuhnya maksud dan keperluan kesaksamaan gender.

"Semoga usaha murni kita ini memberi manfaat kepada semua dan seterusnya menjadikan USM sebagai institusi unggul dalam mempromosikan kesaksamaan gender dan kesejahteraan kesihatan.

IMG 20240923 WA0016

Turut hadir ialah Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Dekan, (Penyelidikan dan Informasi) PPSP, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak dan Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd.

Teks: Rosalwani Che Soh/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 475