DERMA DARAH 124 KALI, SUMBANGAN BERHARGA BAKAL PESARA USM
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 April 2022 - Kehidupan bagaikan tidak lengkap jika tidak menderma darah. Itulah perasaan Mat Hussin Yusof, 58, yang telah mencipta rekod tersendiri apabila menderma darah sebanyak 124 kali dalam tempoh 37 tahun.

Mat Hussin yang bertugas di Bahagian Perkhidmatan Dobi, Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, beliau mula menderma darah apabila Hospital USM memperkenalkan perkhidmatan transfusi melalui Unit Perubatan Transfusi (UPT).
"Dalam masa setahun, kalau saya tidak menderma darah seolah-olah rasa tidak lengkap dan saya akan pergi menderma jika dapat tahu pihak UPT kekurangan stok darah.
"Saya merasa sangat bangga kerana dapat menunaikan tanggungjawab serta membantu mereka yang memerlukan," ujarnya.

Tambah Mat Hussin, beliau mula menderma darah sejak tahun 1984 sehingga kini dan telah memiliki lima buah buku derma darah.
"Saya akan terus menderma darah selagi termampu,” katanya ketika ditemui dalam program Derma Darah Pra Syawal anjuran Persatuan Sains Makmal Perubatan (Amels) USM.
Mat Hussin yang merupakan penderma darah jenis A berkata, sebanyak 450 milimeter darah telah diberikan setiap kali menderma.

"Dengan menderma darah, badan akan sentiasa sihat dan pada masa yang sama kita boleh menyelamatkan tiga nyawa hasil daripada darah yang didermakan.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan menyarankan kepada semua warga kampus untuk menderma darah bagi memastikan bekalan darah di UPT sentiasa mencukupi," ujarnya yang bakal bersara pada bulan September nanti.
Sementara itu, Penyelaras Program Derma Darah Pra Syawal, Norhana Md. Arshad berkata, menderma darah di bulan Ramadan sangat penting bagi membantu UPT menyediakan bekalan darah secukupnya lebih-lebih lagi di musim perayaan.
“Menerusi kempen kali ini, saya berharap kita mampu capai sasaran untuk mendapatkan 100 beg darah dengan kehadiran warga Kampus Kesihatan USM dan masyarakat setempat," katanya.
Teks / Foto : Mohamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 214