DPNC 2024: PERDEBATAN ILMIAH MAHASISWA USM ANGKAT TEMA TEKNOLOGI AI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Mei 2024 – Debat Piala Naib Canselor (DPNC), Universiti Sains Malaysia 2024 disifatkan sebagai medan advokasi terbaik bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan pemahaman mahasiswa mengenai teknologi kecerdasan buatan dalam konteks pendidikan tinggi.
DPNC 2024 mengangkat tema ‘Teknologi (AI) Menjaminkan Masa Depan Mahasiswa’ membuka tirai secara rasminya pada 24 Mei lalu menampilkan lapan (8) desasiswa dari Kampus Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan menyertai pertandingan ini.
Acara kemuncak DPNC 2024 menyaksikan persaingan sengit antara dua (2) pasukan yang berjaya mara ke peringkat akhir iaitu Desasiswa Aman Damai sebagai pembangkang dan Desasiswa Restu yang memainkan peranan sebagai kerajaan. Kedua-dua pasukan mempersembahkan hujah-hujah yang tajam dan tuntas, menunjukkan kebolehan mereka dalam menganalisis isu-isu semasa serta keupayaan berkomunikasi dengan berkesan.
Menerusi tajuk ‘Sudah Tiba Masanya Semua IPT Menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan’ perdebatan yang berlangsung hampir dua (2) jam, menyaksikan Desasiswa Aman Damai unggul apabila muncul sebagai johan membawa pulang piala pusingan, plak dan wang tunai RM1,000 menewaskan Desasiswa Restu yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib johan dan membawa pulang wang tunai RM800 beserta plak.
Walaupun hanya merangkul naib johan namun Desasiswa Restu berbangga kerana pendebat mereka, Muhamad Irfan Shah Duraman dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM100.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya berkata, tema yang dipilih pada sangat relevan dan penting dalam konteks dunia hari ini.
“Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membuka banyak peluang dan cabaran baharu dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan tinggi.
“Saya sememangnya menyokong pelaksanaan pertandingan debat ini bagi memupuk kemahiran komunikasi dengan efektif serta mampu mengembangkan kemahiran secara kritis dalam kalangan mahasiswa USM.
“Saya pasti melalui penganjuran DPNC ini, ramai pelajar akan lebih berani untuk mencuba dan menunjukkan bakat terpendam mereka serta dapat membantu dalam mengasah kebolehan berkomunikasi dan meningkatkan keyakinan untuk berucap di hadapan khalayak ramai,” katanya ketika merasmikan DPNC 2024, di sini semalam.
Tambah Abdul Rahman, penyertaan para pelajar dalam pertandingan debat ini dapat mencapai objektif H.E.B.A.T (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) yang menjadi tunjang utama pembangunan bakat mahasiswa dan mahasiswi USM.
“Saya sangat berbangga dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta debat sepanjang pertandingan ini. Anda semua telah menunjukkan daya intelek yang tinggi, keberanian untuk berdebat secara konstruktif serta kemahiran berfikir secara kritis dan analitis,” ujarnya lagi.
Abdul Rahman turut berharap agar program seperti itu dapat melahirkan pendebat yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat sekeliling sekaligus mewujudkan suasana yang progresif dalam kalangan pelajar USM.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis; Pengerusi Majlis Penggawa USM, Zulkifli Che Hussin; Penasihat Program DPNC 2024, Hafiz Assad Zakaria dan Pengarah Program DPNC 2024, Nurdini Zamri.
Teks: Mohamad Iqbal Bashah Ahmad Basharuddin & Faridatul Aswani Ahmad Zidan / Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 481