KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Julai 2021 – Dua jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sanggup meninggalkan keluarga demi menggalas tanggungjawab untuk negara merawat pesakit COVID-19 di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jururawat berkenaan, Noor Zaimah Daud, 38, dari Wad Eksekutif USAINS dan Siti Nor Hidayu Zakaria, 29, dari Wad 1 Intan (Surgikal HDU) akan melapor diri di HPKK UKM pada 5 Julai 2021.
Noor Zaimah dan Siti Nor Hidayu juga merupakan sukarelawan dari Hospital USM yang pernah dihantar bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), MAEPS Serdang selama dua (2) bulan bermula Januari lalu.
Menurut Noor Zaimah, peluang yang diberikan kepada beliau akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk menimba lebih banyak ilmu dalam berdepan dengan situasi wabak terutama ketika menguruskan pesakit COVID-19.
“Pengalaman ketika bertugas sebagai sukarelawan di PKRC MAEPS Serdang akan dijadikan panduan untuk saya memberikan khidmat yang terbaik di HPKK UKM dan saya berharap agar semua urusan merawat pesakit di tempat baharu ini dipermudahkan olehNya.
“Walaupun sentiasa berdepan dengan stigma risau diri sendiri dijangkiti virus COVID-19, namun berbekalkan keazaman yang kuat, saya yakin setiap keringat yang mengalir adalah untuk membantu golongan yang lebih memerlukan khidmat saya untuk merawat mereka,” ujarnya ketika ditemubual.
Noor Zaimah turut menyeru semua pihak agar segera mendapatkan suntikan vaksin dalam membantu negara membentuk imuniti kelompok sekaligus mengurangkan risiko menjadi pembawa atau penyebar virus kepada orang lain.
Sementara itu, Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim ketika ditemui pula berkata, seperti yang semua sedia maklum, kes jangkitan COVID-19 di Selangor semakin membimbangkan dan keadaan ini amat mendesak serta memerlukan khidmat kejururawatan khususnya untuk membantu merawat pesakit.
“Kita menghantar dua jururawat yang tampil secara sukarela mewakili Hospital USM dan insyaAllah pada masa akan datang, kita akan hantar lagi secara berperingkat untuk membantu operasi di sana.
“Saya yakin mereka sudah mempunyai pengalaman yang cukup dan dipilih berdasarkan kemampuan serta keupayaan mereka mengharungi cabaran COVID-19 ketika menguruskan pesakit di Hospital USM dan di PKRC MAEPS Serdang.
“Kekuatan fizikal dan mental mereka sudah cukup membuktikan mereka bersedia mendepani cabaran dalam menguruskan prosedur ke atas pesakit COVID-19,” jelasnya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman