USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN,14 Jun 2023 – Jururawat adalah nadi dan tulang belakang institusi perubatan termasuk Hospital Universiti Sains Malaysia (USM). Bukan sahaja merawat pesakit, jururawat juga adalah mata, telinga dan insan yang menggalas tugas dan tanggungjawab dalam menyediakan khidmat untuk merawat pesakit.
Menurut Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman, sempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia tahun ini yang bertemakan ‘Our Nurses Our Future: Menyelusuri Sejarah, Meraikan Masa Depan’, pengurusan Hospital USM sangat menghargai jasa dan bakti yang ditaburkan oleh para jururawat selama ini.
“Menelusuri sejarah 40 tahun yang lalu, Hospital USM memulakan operasi pada tahun 1983 dengan 134 orang staf kejururawatan iaitu lima (5) Ketua Jururawat, 107 Jururawat dan 22 orang Penolong Jururawat (atau dikenali sebagai AN – Assistant Nurse pada waktu itu).
“Selepas empat (4) dekad, kita mempunyai lebih 2,000 staf di bawah penyeliaan Unit Kejururawatan.
Perkembangan sumber yang selari membuktikan pengurusan hospital telah meletakkan jururawat sebagai organisasi terkehadapan sejak dahulu lagi,” katanya ketika berucap di Majlis Bersama Pengarah Siri 3 dan Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2023, Peringkat Hospital USM, hari ini.
Tambah Nik Hisamuddin, Hospital USM telah bertindak sejajar dengan matlamat universal ‘Our Nurses Our Future’, jauh lebih awal dari tempoh tema ini diguna pakai kerana sentiasa percaya dengan kemampuan Unit Kejururawatan mengurus sumber, selari dengan keperluan perkhidmatan.
“Pengurusan USM sentiasa menitikberatkan permohonan kejururawatan dan meletakkannya sebagai keutamaan untuk dipenuhi agar sentiasa selari dengan keperluan perkhidmatan di Hospital USM.
“Saya juga amat berbangga kerana hampir 40 peratus (%) daripada jururawat Hospital USM berjaya mendapat pendidikan lanjutan sama ada pos basik, sarjana muda, sarjana, malahan ada jururawat yang berkelulusan doktor falsafah.
“Aktiviti perawatan pesakit adalah salah satu tunjang utama dalam memastikan proses penjagaan kesihatan dapat dilaksanakan secara holistik dan berkesan. Maka, jururawat perlu mempunyai kepakaran, pengetahuan dan latihan khas bagi memastikan perawatan yang diberikan mematuhi piawaian serta selamat,” jelasnya lagi.
Nik Hisamuddin berkata, selaras dengan perkembangan tersebut, pengurusan universiti mengharapkan agar semua jururawat Hospital USM mempunyai nilai yang diimpikan oleh organisasi iaitu memiliki ‘High Standard of Knowledge, Skill and Attitude’ (KSA), kepakaran dalam bidang perawatan, ‘Multi-tasking’, sentiasa mematuhi etika kerja (Immediate Action, Courtesy), mempunyai ciri-ciri kepimpinan serta berfikiran kritis, kreatif, inovatif, dedikasi, dan komited dalam tugas.
“Unit Kejururawatan juga perlu menggalas komitmen yang besar dalam mengekalkan kecemerlangan dan keupayaan mengharumkan nama USM di pelbagai peringkat.
Turut hadir, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Timbalan Pengarah (Klinikal), Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dan Ketua Penyelia Jururawat Hospital USM, Wan Marina Wan Sulaiman.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman