FORUM AMBANG RAMADAN, GABUNG ILMUAN ISLAM BERSAMA PAKAR PERUBATAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 April 2021 – Penganjuran Forum Ambang Ramadan dengan tajuk 'Puasa Si Penghuni Ar-Rayyan' diadakan bukan sahaja secara maya melalui aplikasi webex dan Facebook, malah turut menggabungkan dua kepakaran dari bidang Ilmuan Islam dan pakar perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam merungkai persoalan berkenaan ibadat puasa.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, gabungan bidang ilmuan agama dan profesional amat baik kerana setiap permasalahan dapat dilihat secara terus dari dua sudut pandangan.
“Syabas dah tahniah kepada penganjur, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM kerana berjaya menampilkan dua tokoh yang hebat dalam bidang masing-masing iaitu Pengerusi Yayasan Pondok Sungai Durian, Dato’ Dr. Abdul Basit Abdul Rahman dan Pemangku Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria yang mampu memberi manfaat kepada hampir 700 penonton,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Forum Ambang Ramadan di Dewan Persidangan Kampus, di sini.
Shaiful turut menyeru kepada semua yang akan menunaikan solat tarawih di Masjid Mukim Kampus Kesihatan USM agar mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan norma baharu supaya dapat mengawal penularan wabak COVID-19 dan tidak menjadi punca kewujudan kluster baharu pada bulan Ramadan nanti.
Selain itu, beliau juga berharap agar semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kesihatan dapat mengambil inisiatif dengan menjalankan aktiviti-aktiviti bermanfaatkan dalam bulan Ramadan yang bakal tiba nanti.
Pada program itu juga turut berlangsungnya penyerahan Sijil Sistem Pengurusan Kualiti berasaskan Syariah MS1900 2014 kepada Hospital USM setelah mendapat pengiktirafan Hospital Patuh Syariah daripada SIRIM QAS International pada bulan Febuari 2021.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim dan Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 171