Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

GALAS AMANAH TERUSKAN KECEMERLANGAN PIMPINAN TERDAHULU - SHAHARUM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 April 2022 – Mengemudi tampuk pimpinan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di saat negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19 bukanlah sesuatu yang mudah, namun berpegang kepada tekad serta amanah yang dipertanggungjawabkan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin menyahut cabaran tersebut dengan hati terbuka.

SAVE_20220421_130616.jpg

Bermula 1 Januari 2022, menggalas jawatan Pemangku Pengarah Kampus (PPK), Shaharum memulakan langkah pertamanya untuk meneruskan legasi kecemerlangan kepimpinan terdahulu secara holistik.
 
“Pada peringkat awal memegang jawatan, saya mengambil pendekatan untuk turun ke lapangan bagi mendengar dan melihat apa masalah serta kekangan sebenar yang dihadapi di Kampus Kesihatan yang menyebabkan kita mungkin agak perlahan dari segi pengembangan dan penyampaian perkhidmatan termasuk membantu pusat-pusat tanggungjawab (PTJ) khususnya PTJ akademik dalam melaksanakan tugas dasar iaitu memastikan kecemerlangan akademik dan penyelidikan kerana USM merupakan antara universiti yang primier di Malaysia.
 
“Cabaran besar sentiasa menanti dan saya akan berusaha sebaik mungkin bagi meneruskan kecemerlangan kepimpinan terdahulu yang praktikal dan telah menyediakan hala tuju yang jelas untuk saya mencari penyelesaian serta pelaksaaan yang lebih efisien bagi memacu USM ke hadapan,” ujarnya yang juga Pensyarah Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan.
 
SAVE_20220421_130628.jpg
 
Figura bersosok kecil dan berkulit putih ini sedikitpun tidak pernah menyangka akan diberi tanggungjawab untuk mengemudi Kampus Kesihatan USM. Keutamaan baginya adalah menekankan aspek kebersamaan dengan staf tanpa mengira pangkat dan kategori.
 
“Dalam berhadapan dengan konflik, saya lebih suka mendengar permasalahan, cadangan, keluhan daripada staf dan pelajar serta cuba mencari penyelesaian yang terbaik (menang-menang).
 
Walaupun mungkin tidak mampu menyelesaikan semuanya, namun saya akan cuba bantu setakat termampu,” katanya.
 
Ditanya mengenai perancangannya untuk Kampus Kesihatan, Shaharum menjelaskan beliau bercadang untuk meneruskan legasi kepimpinan terdahulu dan akan cuba memperbaiki sifat sebenar penjawat awam kepada semua staf dengan meletakkan mereka di landasan yang betul serta patuh kepada peruntukan peraturan perkhidmatan masing-masing.
 SAVE_20220421_130638.jpg
 
“Apabila seseorang memegang jawatan dalam Perkhidmatan Awam, amanah yang dipikul adalah ‘besar’ dan mereka perlu menggalas amanah ini sebaiknya. Namun, mungkin akibat terlampau dibebani oleh tugas-tugas, masalah peribadi, masalah masyarakat, kebanyakan staf sedikit alpa akan janji mereka untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan baik.
 
"Saya akan berusaha untuk memberikan impak positif kepada staf yang mungkin terleka agar boleh terus memacu teras perkhidmatan masing masing ke hadapan bagi meneruskan agenda Universiti yang sebenar," jelas beliau lagi.
 
Ahli akademik berusia 55 tahun ini juga tidak lokek dengan senyuman apabila setiap butir bicara yang dituturnya cukup menggambarkan ketinggian ilmu yang dimiliki dan menyerlahkan sifat peribadi serta aura positif yang beliau miliki.
 
Shaharum yang mula berkhidmat di USM pada 1 Jun 2003 sebagai Pensyarah Universiti memberitahu, untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa memerlukan tahap kesabaran (mental) yang tinggi dan tentu sahaja tidak sama antara setiap pemimpin kerana setiap mereka mempunyai kelebihan masing-masing.
 
“Saya akan meneruskan usaha sama dan hubungan yang telah terjalin erat dengan agensi-agensi luar seperti Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis DiRaja Malaysia dan tidak ketinggalan pertubuhan –pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
 
“Seperti yang semua maklum, Kampus Kesihatan berkolaborasi dengan memberikan Dewan Utama Kampus Kesihatan kepada KKM untuk dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) bagi merawat pesakit COVID-19, di sini dapat dilihat kebersamaan dan hubungan baik antara USM dan agensi luar dalam memberikan yang terbaik untuk manfaat rakyat,” ulasnya.
 
Sifat kepimpinan sememangnya telah sebati dalam diri Shaharum apabila beliau dilantik sebagai Pemangku Timbalan Dekan Penyelidikan seawal tahun 2007 dan sebagai Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat pada tahun 2010 hingga 2012, dilantik sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan pada tahun 2013 hingga 2015 seterusnya dilantik mengetuai Program Bioperubatan sebagai pengerusi dari tahun 2016 hingga 2018 di Pusat Pengajian Sains Kesihatan. Shaharum juga adalah penyelaras URICAS (USM – RIKEN Interdisciplinary Collaboration of Advanced Sciences) dari tahun 2017 hingga 2020.
 
Anak kelahiran Kampung Chekok, Pulai Chondong ini kemudiannya sekali lagi dipilih untuk mengetuai tampuk pimpinan pengurusan Kampus Kesihatan USM apabila beliau ditawarkan jawatan Pemangku Pengarah Kampus pada awal tahun ini.
 
Diajukan soalan mengenai pengurusan akademik dan penyelidikan, Shaharum lantas menyuarakan pendapatnya mengenai kecemerlangan penyelidikan di USM Kampus Kesihatan yang bertunjang kepada ‘Research and Development’ (R&D). 
 
“Kampus Kesihatan USM mempunyai ramai pakar Perubatan dan Sains Kesihatan yang mendasari pelbagai bidang. Kebanyakan hasil penyelidikan ini telahpun diterjemahkan kepada perkhidmatan - perkhidmatan klinikal yang mampu membantu proses perawatan, pengenalpastian penyakit dan pembangunan teknologi perubatan terkini sesuai dengan keperluan masyarakat.
 
“Ramai pakar-pakar yang menjalankan pelbagai penyelidikan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam pelbagai aspek perawatan. Ini adalah satu kebanggaan kepada universiti dan negara kerana dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat khususnya di Pantai Timur dan seluruh negara amnya," katanya lagi.
 
Sebelum mengakhiri temu bual, Shaharum sempat menitipkan nasihat dan berharap agar semua staf Kampus Kesihatan dapat memberi kerjasama dan pandangan positif terhadap apa-apa tindakan yang diambilnya untuk kesejahteraan universiti.
 
Beliau turut berharap agar warga staf sentiasa mamatuhi peraturan yang ditetapkan, menguruskan sesuatu projek mengikut ketepatan masa dan memastikan aspek penyampaian perkhidmatan diurus dengan baik.
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.
  • Created on .
  • Hits: 189