USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Januari 2022 - Gangguan seksual ialah kelakuan yang tidak diingini dan menyinggung perasaan yang boleh menyebabkan mangsa berasa tidak selesa, takut atau terhina.
Ia berkemungkinan tingkah laku yang kurang serius pada peringkat awal tetapi berkemungkinan merupakan langkah pertama untuk pemangsa mengambil tindakan selanjutnya yang lebih serius dan bersifat seksual ke atas mangsa sekiranya tindakan yang betul tidak diambil oleh mangsa.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, gangguan seksual boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk tingkah laku lisan atau bukan lisan, visual mahupun fizikal berdasarkan jantina seseorang.
“Gangguan fizikal contohnya dalam bentuk menyentuh, memegang atau memeluk mangsa, gangguan lisan pula termasuk komen atau jenaka, ajakan atau jemputan yang tidak sesuai, soalan yang sensitif atau tidak sesuai tentang kehidupan peribadi seseorang atau komen yang berbau seksual tentang penampilan fizikal seseorang.
“Bagi gangguan seksual secara bentuk bukan lisan pula merujuk kepada tingkah laku yang menakutkan seperti merenung atau memandang dalam bentuk yang mengganggu, menunjukkan imej atau bahan yang tidak senonoh, memberikan sesuatu hadiah yang berbaur seksual, pendedahan fizikal yang tidak senonoh dan banyak lagi,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam sesi ‘Town Hall’ : Peranan Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual (JTGS) dan Pejabat Perundangan Dalam Isu Gangguan Seksual di USM.

Tambah Imran, akhir-akhir ini penggunaan teknologi multimedia seperti emel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau imej yang mempunyai elemen lucah, ugutan atau menyinggung perasaan juga semakin kerap berlaku kerana ianya amat mudah dilakukan dan sangat berkesan untuk mengganggu mangsa.
“Walaupun gangguan seksual dan keganasan yang semakin meningkat ini dianggap sebagai isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang serius, namun sebahagian besarnya tidak dilaporkan oleh mangsa kepada pihak pengurusan atau pihak keselamatan.
“Mereka mungkin berasa malu untuk melaporkannya atau telah menganggap gangguan ini sebagai gurauan biasa dan sebahagian daripada risiko pekerjaan.
“Ada juga staf yang beranggapkan tidak perlu melaporkan hal tersebut kerana tiada tindakan yang boleh diambil ke atas pemangsa oleh pihak berwajib selain perasaan takut untuk membuat laporan kerana mempunyai unsur-unsur ugutan atau terdapat isu keselamatan yang lain,” jelasnya lagi.
Imran berkata, gangguan seksual dan keganasan terhadap kakitangan hospital terutamanya jururawat wanita boleh menjadi sangat rumit serta menjadi risiko pekerjaan dalam profesion perubatan dan kesihatan.
“Memandangkan bidang kejururawatan mendedahkan mereka secara fizikal dan emosi kepada pesakit dan kakitangan yang lain, jururawat wanita terutamanya mempunyai kadar gangguan seksual yang paling tinggi dalam profesion ini.
“Berdasarkan laporan, satu perempat kakitangan hospital di seluruh dunia melaporkan pendedahan kepada gangguan seksual semasa mereka bekerja dan berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan di luar negara menunjukkan bahawa prevalens gangguan seksual terhadap kakitangan hospital wanita ialah antara 10 hingga 85 peratus,” kata beliau lanjut.
Imran berharap isu gangguan seksual dalam kalangan petugas hospital, staf dan pelajar USM tidak menjadi isu yang serius dan dapat dibendung di peringkat awal supaya ia tidak menjadi barah yang meninggalkan kesan buruk kepada semua pihak.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel