USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 April 2021 – Isu kesukaran dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk memperoleh peluang pekerjaan merupakan isu global dan bukan berlaku di Malaysia sahaja. Justeru, model Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (Vocational Training-VT) yang dipelopori oleh golongan OKU Intelek dilihat berjaya membantu mengubah ekonomi keluarga.
Menurut Penyelaras Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek, Unit Transformasi OKU, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Masliza Yazid, golongan OKU juga berpeluang memperoleh pendapatan sendiri dalam pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran mereka.
“Setiap Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) akan melatih ‘Job Coach’ yang akan membantu dalam pemantauan OKU sebelum menempuh alam pekerjaan.
“Selain itu, Unit Transformasi OKU juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Koperasi Warga USM Kelantan Berhad dan agensi-agensi swasta untuk membantu memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak OKU,” jelasnya semasa menyampaikan ceramah dalam Seminar Virtual Sindrom Down Anak-anak Istimewa sempena Hari Sindrom Down Sedunia 2021 yang berlangsung secara maya melalui platform webex.
Tambah Masliza, kejayaan Program VT@USM ini juga menunjukkan ramai dalam kalangan golongan OKU yang mempunyai keinginan untuk berkeluarga dan menjalani kehidupan seperti manusia biasa.
”Pada tahap ini, terdapat hanya satu pasangan sahaja yang telah berkahwin dan berharap selepas ini semakin ramai golongan OKU yang berkeluarga kerana mereka sudah mampu bekerja dan menyara keluarga.
“Unit Transformasi OKU juga telah menghasilkan satu modul model jaringan bagi membolehkan OKU Intelek bekerja dan ia dapat digunakan oleh semua PDK di Kelantan,” ujarnya lagi.
Masliza juga menegaskan bahawa peranan keluarga sangat penting dalam memberi sokongan kepada golongan OKU Intelek untuk bekerja kerana didikan yang diberikan oleh keluarga selain bantuan disediakan oleh pihak kerajaan dapat membantu mereka berdikari dan memiliki sumber pendapatan hasil titik peluh sendiri.
Teks: Nur Atiqah Nabihah Zulkipli (Pelajar Praktikal UiTM) / Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel