HAMPIR 1,000 SUKARELAWAN SKUAD IHSAN MADANI KPT-MASKUM BANTU MANGSA BANJIR KELANTAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Disember 2024 – Musibah banjir yang melanda negeri Kelantan baru-baru ini disifatkan yang terburuk dalam sejarah dan menyebabkan banyak kerosakan harta benda serta melibatkan kerugian besar bagi penduduk terlibat.
Menyedari keperitan dan kesulitan mangsa yang terlibat, Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menggerakkan Misi Skuad Ihsan Madani untuk membantu melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan pasca banjir termasuk sesi kaunseling dan sokongan emosi di kawasan-kawasan terjejas sekitar daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Bachok.
Pelancaran misi tersebut disempurnakan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang juga Pengerusi MASKUM, Profesor Dr. Norkhalid Salimin di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Menurut Norkhalid, misi sukarelawan pasca banjir ini melibatkan kerjasama erat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan USM selain turut disertai oleh 650 orang sukarelawan daripada 12 Universiti awam seluruh negara.
“Mereka yang terlibat seramai 157 sukarelawan dari UMK, 120 dari USM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seramai 54 orang, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 48 orang, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 45 orang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) 40 orang, Universiti Malaya (UM) 36 orang, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 33 orang, Universiti Putra Malaysia (UPM) 31 orang, UPSI 30 orang, Universiti Utara Malaysia (UUM) 30 orang dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 26 orang.
“Fokus utama misi ini ialah memastikan penduduk setempat dapat menjalani kehidupan seperti biasa selain memberi sokongan psikologi dan moral kepada mangsa banjir,” ujarnya.
Tambah beliau, ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada semua universiti awam untuk menyantuni, menyelami keadaan mangsa banjir dan juga misi menyelamat di Kelantan.
“Sukarelawan ini akan memfokuskan pada tugas pembersihan di kawasan-kawasan yang terlibat iaitu di lima (5) daerah yang teruk terkesan banjir.
“Selain itu, kita juga ada membawa bersama aset seperti bot, kayak, lori untuk membantu proses pemindahan mangsa banjir selain mengagihkan bantuan bakul ihsan madani kepada mangsa yang terkesan banjir,” jelasnya lagi.
Untuk misi kali ini, USM dan UMK diberi tanggungjawab sebagai pusat koordinasi utama bagi persiapan logistik dan penyelarasan sukarelawan.
Turut hadir semasa sesi pelepasan sukarelawan ke daerah yang terlibat ialah Naib Canselor UUM, Profesor Dato' Dr. Mohd Fo'ad Sakdan; Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Profesor Ts. Dr. Arham Abdullah; Timbalan Naib Canselor (HEPA), UMK, Profesor Dr. Muhammad Ismail; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Hafiz Assad Zakaria; Pendaftar UMK, Khairul Eruwan Abdul Halim dan pegawai-pegawai MASKUM.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 492