USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 November 2021 – Hari Radiografi Sedunia dipercayai dapat memberikan pendedahan kepada orang ramai dan anggota kesihatan mengenai bidang sinaran dalam aplikasi perubatan dan kesihatan yang terdapat di Hospital.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, semua sedia maklum bahawa teknologi radiografi atau sinaran di seluruh dunia digunakan sebagai perkhidmatan diagnostik bagi mengesan pelbagai jenis penyakit.
“Teknologi sinaran juga digunakan sebagai rawatan atau terapi bukan hanya dalam bidang onkologi malah dalam bidang perubatan nuklear, radiologi dan perubatan transfusi.
“Dengan kemajuan teknologi sinaran pada masa kini, ianya membantu mengesan penyakit dengan lebih tepat selain mempercepatkan proses rawatan ke atas pesakit.
“Selain itu, teknologi sinaran juga amat penting bagi membantu kesembuhan dan mengurangkan risiko penyakit berulang terutama dalam rawatan kanser,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Radiografi Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Tambah Shaiful, penggunaan sinaran perubatan dalam diagnosis, rawatan dan prosedur pembedahan juga semakin meningkat.
“Sambutan Hari Radiografi Peringkat Kampus Kesihatan tahun ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan aspek perlindungan sinaran kepada pekerja, pesakit serta orang awam semasa menjalankan prosedur pengimejan x-ray, pengimejan perubatan nuklear dan terapi sinaran.
“Oleh itu, kakitangan kesihatan seharusnya peka dan mempunyai pengetahuan mengenai bahaya radiasi untuk melindungi diri sendiri, staf, pesakit dan orang awam daripada kesan buruk sinaran, di samping dapat memupuk amalan kerja yang baik dalam kalangan pekerja sinaran,” jelasnya lagi.
Shaiful berkata, Hari Radiografi Sedunia diraikan pada 8 November setiap tahun. Namun pada kali ini agak istimewa sedikit kerana jawatankuasa penganjur memilih untuk meraikannya bersama ‘International Day of Medical Physics’ yang disambut pada hari ini iaitu, 7 November setiap tahun.
“Hari Radiografi Sedunia diraikan sempena memperingati sejarah penemuan radiasi X-ray oleh Wilhelm Roentgen pada tahun 1895 yang membawa kepada penghasilan radiografi pertama.
“Setiap tahun tema yang diangkat dalam memperingati Hari Radiografi Sedunia adalah berbeza dan pada kali ini, tema sambutan yang telah dipilih ialah ‘Keselamatan Sinaran'.
“Sambutan ini juga bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anggota kesihatan terutama kepada Pegawai Sains (Fizik), Juru X-ray Diagnostik, Juru X-ray Terapi dan Juru Teknologi Makmal Perubatan (JTMP) yang mana peranan mereka dalam bidang tugas masing-masing tidak boleh disangkal lagi,” katanya.
Sambutan Hari Radiografi pada tahun ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik yang akan dijalankan selama sebulan bermula hari ini sehingga 7 Disember 2021. Antaranya ialah kuiz, pertandingan video pendek, ‘virtual steps challenge’, e-pameran, ceramah dan sebagainya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman