Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA: WARGA KAMPUS DISERU PERANGI ROKOK DAN 'VAPE'  

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Mei 2023 - Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) 2023 merupakan platform terbaik bagi menyemarakkan semangat warga kampus untuk menjadikan Kampus Kesihatan Bebas Tembakau serta ke arah masyarakat sihat tanpa amalan merokok dan 'vaping'.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia atau lebih dikenali ‘World No Tobacco Day’ (WNTD) disambut di seluruh dunia pada 31 Mei setiap tahun. Sambutan ini penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit serta mortaliti yang disebabkan oleh merokok.

edb64f1a 0f62 414b a60b 37cef2f09a90

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, Klinik Berhenti Merokok di bawah kelolaan Klinik Rawatan Keluarga (KRK), Hospital USM dan Jabatan Perubatan Keluarga sangat komited dan aktif dalam menjalankan program untuk meningkatkan kesedaran, pencegahan dan rawatan berhenti rokok dan rokok elektronik (vape) sama ada di dalam mahupun luar USM.

"Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di KRK, Hospital USM telah membantu pesakit untuk berhenti dan bebas dari merokok termasuk pesakit rujukan dalaman ataupun kes ‘walk-in’ dari luar USM.

888b21b1 00a0 4f07 aeb3 2ac425e477f9

“Selain perkhidmatan bantuan berhenti merokok di klinik sejak tahun 2015, Jabatan Perubatan Keluarga giat mengadakan program bersama komuniti dan sekolah-sekolah di seluruh Kelantan serta luar Kelantan untuk memberi kesedaran kepada orang awam terutama pelajar sekolah, mahasiswa universiti serta kolej tentang bahaya rokok dan 'vape' serta kepentingan generasi bebas merokok,” katanya.

Menurut Shaharum, orang ramai sedia maklum bahawa merawat ketagihan nikotin ini bukan sesuatu yang mudah.

984d1792 ac42 4904 8853 4f8ffbd4a4d6

"Pelbagai program komuniti juga telah giat mereka jalankan terutamanya kerjasama bersama kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dalam melaksanakan projek Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Usaha ini dilakukan bagi mengurangkan peningkatan perokok baharu yang kini sangat membimbangkan,” jelasnya lagi.

5b326029 efc6 4a59 8645 ceea57985702

Shaharum turut berharap sambutan Hari Tanpa Tembakau pada tahun ini dapat meningkatkan kesedaran warga Kampus Kesihatan tentang bahaya rokok termasuk ‘vape’ dan rawatan bantuan berhenti merokok yang terdapat di Klinik Berhenti Merokok.

3c69f0a3 d35b 4986 a4a8 b99c7a246dff

Sementara itu, Pensyarah Perubatan merangkap Pengerusi Program Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan, USM 2023, Dr. Nur Suhaila Idris, pula menjelaskan program itu bertujuan memperkasakan warga Kampus Kesihatan tentang kepentingan bebas dari amalan merokok, persekitaran bebas rokok dan peranan warga kampus dalam membantu masyarakat ke arah generasi bebas daripada amalan merokok.

877ee58c 7196 4a91 9b5a 1e374578dbd5

“Merokok bukan sahaja merupakan faktor penyumbang kepada penyakit kardiovaskular, respiratori dan kanser kepada perokok, malah kepada individu yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok (secondhand smoke).

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi penghargaan kepada klien yang berjaya berhenti merokok serta mereka yang memberi sumbangan khidmat bakti terutamanya di Klinik Berhenti Merokok, KRK, Hospital USM,” ujarnya.

Sambutan yang bertemakan 'We Need Food, Not Tobacco' itu dimeriahkan dengan pengisian perkongsian ilmu daripada pakar perubatan, pameran tentang bahaya rokok, kaunter saringan Klinik Berhenti Merokok, penyampaian sijil kepada peserta yang berjaya berhenti merokok dan pemenang pertandingan poster sempena WNTD peringkat Kampus Kesihatan 2023.

Turut hadir ialah Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya & Antarabangsa), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Pengerusi Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Dr. Khairilmizal Samsudin; Timbalan-timbalan Pengarah Hospital USM dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Keluarga, PPSP, Profesor Madya Dr. Imran Ahmad.

Teks: Siti Sri Mas Ismail / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 232