Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HOSPITAL USM TAWAR KHIDMAT UJIAN SARINGAN COVID-19 KEPADA PESAKIT DAN PENEMAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 November 2021 – Hospital Universiti Sains Malaysia mengambil inisiatif menyediakan Kaunter Saringan COVID-19 (KSC) bagi membantu pesakit dan peneman melakukan ujian calitan (swab test) sebelum dibenarkan menemani pesakit di dalam wad.

Menurut Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, KSC disediakan bertujuan menyaring pesakit yang menerima rawatan atau menjalankan prosedur di dalam wad atau mana-mana fasiliti perawatan pesakit di Hospital USM.

SAVE 20211103 185530

“Selain itu, ia juga turut memberi kemudahan kepada peneman pesakit bagi kes-kes yang dibenarkan untuk melakukan ujian calitan sebelum mereka dibenarkan menemani pesakit di dalam wad.

“Hanya seorang peneman dibenarkan untuk seorang pesakit pada satu-satu masa dan hanya yang melepasi saringan risiko serta memperoleh keputusan negatif terkini (dalam tempoh 72 jam) ujian RTK-Ag akan diberi kebenaran,” katanya semasa merasmikan perkhidmatan Kaunter Saringan COVID-19 Hospital USM, hari ini.

Tambah Sukari, peneman hanya akan dibenarkan bagi kes-kes tidak berdaya fizikal (bed bound) berdasarkan kriteria tertentu yang diputuskan sama ada oleh petugas di Jabatan Kecemasan atau di wad berkenaan. 

“Peneman yang diberi kebenaran untuk meneman pesakit tidak lagi perlu ke fasiliti kesihatan lain untuk melakukan ujian calitan kerana perkhidmatan tersebut kini ditawarkan di KSC bermula 1 November lalu.

SAVE 20211103 185522

“KSC akan beroperasi pada setiap hari Sabtu hingga Rabu bermula jam 8.10 pagi hingga 4.45 petang, pada hari Khamis bermula jam 8.10 pagi hingga 3.00 petang dan ditutup pada setiap hari Jumaat,” jelasnya lagi.

Sukari berkata, beliau percaya KSC akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pesakit selain bertujuan melindungi keselamatan pesakit lain yang sedang menerima rawatan dan kakitangan yang bertugas di Hospital USM.

"Dengan adanya KSC ini, perkhidmatan ujian calitan untuk saringan COVID-19 dapat dibuat secara berpusat berbanding sebelum ini yang dibuat secara satelit bagi meningkatkan kecekapan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

"Perkhidmatan KSC juga perlu bagi mengelak insiden berulang penularan jangkitan COVID-19 di zon perawatan pesakit selain memastikan individu yang memasuki fasiliti perawatan bebas COVID-19," ujarnya lanjut.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 153