Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HOSPITAL USM WAJIBKAN SARINGAN COVID-19 PENEMAN PESAKIT UNTUK ELAK JANGKITAN DARI KOMUNITI

 

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Julai 2021 – Berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 sejak akhir-akhir ini khususnya penularan dalam komuniti yang amat membimbangkan, dikhuatiri  jangkitan virus ini berisiko menular di fasiliti Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), lebih-lebih lagi ke zon perawatan pesakit.

a35c6736 dd78 476e ab6d 8f3d07078314

Menurut Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, sebarang penularan kes positif COVID-19 ke zon perawatan pesakit perlu dikawal dengan apa cara sekali pun kerana ianya boleh menjejaskan fokus warga kerja hospital serta mampu merencatkan operasi perkhidmatan perubatan kepada rakyat.

“Berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan COVID-19 khususnya di negeri Kelantan dan daerah Kota Bharu termasuk ancaman penyebaran varian Delta yang merebak pantas serta insiden terkini kes positif melibatkan peneman pesakit di Hospital USM, pihak pengurusan terpaksa membuat keputusan untuk memperketatkan polisi kebenaran kepada peneman pesakit berkuatkuasa 20 Julai 2021.

“Peneman hanya akan dibenarkan bagi kes-kes tidak berdaya fizikal (bed bound) sahaja berdasarkan kriteria-kriteria tertentu yang diputuskan sama ada oleh petugas di Jabatan Kecemasan atau di wad-wad yang berkenaan,” ujarnya.

Tambah Sukari, peneman juga tidak dibenarkan bagi pesakit-pesakit di Wad Bersalin, Unit Rawatan Rapi (ICU), Wad Severe Acute Respiratory Illness (SARI) serta Wad COVID-19.

318022ec fdfb 4547 b55d 9332e01c6593

“Hanya seorang (1) sahaja peneman dibenarkan untuk seorang pesakit pada satu-satu masa dan hanya peneman yang melepasi saringan risiko serta memperoleh keputusan negatif terkini (dalam tempoh 72 jam) ujian RTK-Ag atau RT-PCR COVID-19 sahaja yang akan diberi kebenaran masuk untuk meneman pesakit, termasuk peneman gantian (jika berkenaan).

“Ketetapan ini perlu bagi mengelak insiden berulang kes peneman pesakit menularkan jangkitan ke kawasan perawatan dan ia selaras dengan arahan yang diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan yang juga mengambil pendekatan berkenaan bertujuan memastikan individu yang memasuki Kelantan bebas COVID-19", jelasnya lagi.

Sukari berkata, seseorang peneman itu perlu sepanjang masa berada dalam kawasan Hospital USM dan sekiranya didapati keluar dari kawasan Hospital USM, mereka hanya akan diberi kebenaran masuk semula selepas mengulangi saringan ujian RTK-Ag atau RT-PCR dengan keputusan negatif.

“Peneman yang ingin berada di fasiliti Hospital USM boleh melakukan ujian RTK-Ag atau RT-PCR  dengan pembiayaan  sendiri di fasiliti-fasiliti luar yang menyediakan ujian berkenaan selain di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi kes-kes pesakit kritikal (nazak) atau meninggal dunia di wad pula, hanya dua (2) orang waris terdekat yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa dan kedua-duanya perlu memperoleh keputusan negatif ujian RTK-Ag atau RT-PCR COVID-19 terlebih dahulu dan tempoh masa yang dibenarkan adalah selama 15 minit sahaja,” ulas beliau lanjut.

Selain itu, menurut Sukari, bagi penerangan situasi semasa pesakit, pengambilan ‘consent’ dan sebarang perbincangan bersama waris yang bukan peneman pesakit, ia hendaklah dilakukan di luar kawasan perawatan.

“Pengambilan pesakit yang telah dibenarkan pulang (discharge) oleh waris juga dibenarkan di luar kawasan perawatan.

“Kejayaan mengawal jangkitan COVID-19 memerlukan kerjasama semua pihak. Sila jujur semasa melakukan saringan deklarasi dan sekiranya anda berisiko atau sedang mengalami simptom yang berkaitan COVID-19, jangan datang ke Hospital USM sebagai peneman pesakit,” katanya.

Sukari turut menjelaskan bahawa Hospital USM telah melaksanakan Polisi Tiada Pelawat (No visitor’s policy) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020 sehingga sekarang.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 153